RUU MCBA dibentang Julai depan

Saifuddin Nasution Foto Bernama
Saifuddin Nasution Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Rang Undang-undang (RUU) Agensi Pintu Masuk dan Sempadan Malaysia (MCBA) dijangka dibentang pada sesi Parlimen, Julai depan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, beliau telah mendapat jaminan daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi membolehkan RUU berkenaan dibentangkan.

"Saya telah mendapat jaminan daripada Jabatan Peguam Negara (AGC), kalau dijadualkan bentang Julai itu munasabah untuk kita jelmakan ia sebagai satu entiti," katanya pada Majlis Perjumpaan Khas Menteri bersama Pengurusan Tertinggi KDN dan Media di sini pada Isnin.

Menurutnya, kesemua perjawatan MCBA juga telah diluluskan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

"Ketika ini, kita dalam proses pengisian jawatan berkenaan," jelas beliau.

MCBA merupakan agensi barisan hadapan di pintu masuk negara termasuk pelabuhan yang bertanggungjawab menyediakan perkhidmatan kawalan sempadan serta pemeriksaan secara bersepadu dan komprehensif.

Pelaksanaan MCBA merupakan agenda nasional dalam memperkasa tiga aspek utama iaitu meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan di pintu masuk negara, mengurangkan ketirisan hasil negara dan meningkatkan aspek integriti dalam kalangan penguat kuasa bagi mengawal dan melaksanakan pemeriksaan antara lain terhadap orang, barang, kenderaan, binatang dan tumbuhan.

Ujar Saifuddin, mesyuarat Kabinet minggu lalu juga telah bersetuju untuk KDN menubuhkan Jawatankuasa Pemandu dan Pengopersian MCBA yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Ruji Ubi.

Artikel Berkaitan:

“Kami akan mulakan penglibatan awal dengan membabitkan agensi terlibat," katanya.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Datuk Seri Hazani Ghazali dilantik Ketua Pengarah Agensi Pintu Masuk dan Sempadan Malaysia (MCBA) yang pertama, berkuat kuasa 31 Januari lalu.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!