#GrandReset kembalikan semula peranan ulama, umara’, ummah

Hussamuddin berucap pada Majlis Taklimat Sinergi Media Ummah #GrandReset: Kesatuan dan Transformasi Sosial di Studio My #QuranTime, Kumpulan Karangkraf pada Isnin. Foto SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID
Hussamuddin berucap pada Majlis Taklimat Sinergi Media Ummah #GrandReset: Kesatuan dan Transformasi Sosial di Studio My #QuranTime, Kumpulan Karangkraf pada Isnin. Foto SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID
A
A
A

SHAH ALAM - Ummah #GrandReset melalui panduan Surah Al-Jumu’ah perlu menjadi model transformasi dalam mengembalikan semula peranan 3U iaitu ulama, umara’ dan ummah.

Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Datuk Hussamuddin Yaacub berkata, ia berikutan ketiga-tiga peranan tersebut merupakan aspek penting dalam membangunkan negara serta sebagai formula menuju kemenangan akhir zaman.

Ummah #GrandReset yang dilancarkan oleh WUIF sempena kempen World #QuranHour ini menyasarkan ‘reset’ kesatuan dan melakukan transformasi sosial bagi umat Islam. Foto SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID
Ummah #GrandReset yang dilancarkan oleh WUIF sempena kempen World #QuranHour ini menyasarkan ‘reset’ kesatuan dan melakukan transformasi sosial bagi umat Islam. Foto SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID

“Raja orang Islam, menteri Kabinet pun kebanyakannya orang Islam tetapi negara masih tidak berjaya kerana kita gagal memainkan peranan, sama ada ulama, umara’ dan ummah, mereka melangkaui batasan masing-masing.

“Bagi kita, peranan ulama sepatutnya membuatkan orang-orang Islam lebih faham Islam dan memindahkan nilai-nilai yang ada dalam agama tersebut tetapi apabila ulama sudah masuk ke bidang politik, masuk ke kategori umara’ (pemimpin) manakala ummah pula cuba jadi ulama’ dengan mengeluarkan fatwa bukan-bukan melalui media sosial, itu menjadi parah.

“Itu sebab saya rasakan tahun ini kita perlu lakukan #GrandReset, semua kena balik kepada peranan masing-masing. Maknanya kena kembali melahirkan orang-orang politik yang bagus dan betul-betul berpegang pada ajaran betul,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dalam Majlis Taklimat Sinergi Media World #QuranHour 1445H/2024 di Studio My #QuranTime, Kumpulan Karangkraf pada Isnin.

Ummah #GrandReset yang dilancarkan oleh WUIF sempena kempen World #QuranHour itu menyasarkan ‘reset’ kesatuan dan melakukan transformasi sosial bagi umat Islam.

Artikel Berkaitan:

Surah Al-Jumu'ah adalah salah satu daripada tujuh surah Musabbihat dengan menjadikan hari Jumaat, hari perkumpulan umat Islam setiap minggu sebagai momentum penting bagi transformasi minda ummah seluruh dunia.

World #QuranHour 1445H/2024 akan bersiaran secara langsung di lokasi perdana, Masjid Negara, Kuala Lumpur pada pukul 12 hingga 1 tengah hari, pada 4 April ini bersamaan 24 Ramadan 1445H.

Sementara itu, ujar Hussamuddin yang juga Penasihat Kumpulan Karangkraf itu, kempen tersebut diharap dapat memberi kesedaran terutamanya kepada umat Islam untuk kembali kepada al-Quran.

“Harapan kita adalah jika kita dapat membuat kempen secara besar-besaran di seluruh dunia dan gelombangkan kempen ini diikuti dengan tindakan rumah mengaji, kelas dan inisiatif dalam keluarga.

“Ia supaya setiap individu dalam keluarga itu boleh baca, memahami dan boleh menjadikan al-Quran itu sebagai panduan dan sistem operasinya,” jelasnya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28