X

Kindly register in order to view this article
!

Keharmonian kaum keutamaan kerajaan: Guan Eng

Guan Eng (tiga dari kanan) menerima cenderahati selepas lawatan kerjanya di Butterworth hari ini.
A
A

BUTTERWORTH - Isu keharmonian kaum merupakan keutamaan kerajaan, namun ia diakui bukan satu perkara mudah untuk memuaskan hati semua pihak.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, sebagai kerajaan yang mengamalkan prinsip demokrasi dan terbuka, pihaknya bersedia menerima dan memberi ruang kepada semua untuk menyatakan pandangan masing-masing.

Sebagai contoh, katanya, dalam isu jawi, kerajaan tetap menyokong tulisan jawi dan penggunaan bahasa ibunda, namun menegaskan bahawa ia bukanlah pendirian kerajaan sekiranya ada pihak yang menolak perkara tersebut.

"Untuk menjadi sebuah kerajaan berpegang dengan prinsip demokrasi, kita cuba untuk mendengar semua pandangan dalam isu keharmonian kaum, namun ia bukan mudah.

"Kita telah cuba beri ruang kepada mereka untuk memberi pandangan kerana jika kita ambil tindakan tegas, kita pula akan dikritik membelakangkan prinsip demokrasi," katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke Penang Port Sdn Bhd (PPSB) di sini hari ini.

Guan Eng berkata demikian bagi mengulas kenyataan Penerbit Sinar Harian, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub yang menyifatkan suasana hubungan kaum dan agama di negara ini semakin parah terutama sejak 20 bulan lalu.

Pengarah Urusan Kumpulan Karangkraf itu menggesa sesuatu yang drastik perlu dilakukan kerajaan termasuk Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan menteri-menteri Kabinet bagi menangani masalah tersebut.

Sementara itu, Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, media juga memainkan peranan penting dalam menyiarkan berita sahih termasuk media pembangkang bagi mengelak keresahan dalam kalangan rakyat, tidak kira media berbahasa Melayu, Inggeris, Cina atau Tamil.

Dalam perkembangan lain, Guan Eng berkata, kerajaan kini lebih menumpukan kepada pembangunan ekonomi kerana percaya pertumbuhan ekonomi negara yang baik merupakan faktor penting yang boleh menyatupadukan rakyat.

Katanya, pelbagai program diwujudkan antaranya perkhidmatan e-dompet dan #MalaysiaKerja.

"Apa guna kita membuat ucapan berbaur hasutan sekiranya kita tidak dapat menangani masalah ekonomi rakyat. Nak cakap, siapa pun boleh cakap tetapi apa yang dicakapkan itu hanya omong kosong.

"Saya percaya, rakyat boleh beza antara omong kosong dengan dasar yang benar-benar beri manfaat kepada mereka," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus