Ibu hamil di Gaza diperkosa di hadapan suami dan anak sendiri

Sekumpulan penduduk Palestin yang berjaya melarikan diri dari al-Shifa tiba di tengah Genting Gaza. - Foto: Agensi
Sekumpulan penduduk Palestin yang berjaya melarikan diri dari al-Shifa tiba di tengah Genting Gaza. - Foto: Agensi
A
A
A

BANDAR GAZA - Rejim Zionis tergamak mencemari kesucian bulan Ramadan dengan perbuatan tidak berperikemanusiaan mereka ketika serbuan ganas terbaharu ke atas Hospital al-Shifa di Bandar Gaza yang dilancarkan pada minggu lalu.

Kejadian menakutkan itu dikongsi saksi dikenali sebagai Jamila al-Hisi yang berjaya melarikan diri daripada kompleks perubatan tersebut.

"Golongan wanita yang berlindung di al-Shifa diperkosa, dibiarkan kelaparan, didera secara fizikal dan dihukum di luar undang-undang," jelasnya sambil menyuarakan rasa kecewa kerana Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) hanya berdiam diri serta tidak mengambil sebarang tindakan.

Menurutnya, tentera Israel turut mengusir secara paksa 65 keluarga dari kawasan sekitar kemudahan tersebut.

"Kesemua mereka kemudiannya dibunuh dengan kejam apabila bangunan yang menjadi tempat berlindung kumpulan itu dibakar tanpa belas kasihan sebelum sempat mereka berpindah keluar.

"Kami tidak mempunyai seteguk air pun untuk berbuka puasa. Kami tidak tahu ke mana lagi mahu dituju," katanya lagi sambil menambah kumpulan penduduk Gaza yang berada di pekarangan al-Shifa tiada makanan atau air minuman selama enam hari berturut-turut.

Wanita itu juga menggesa Persatuan Palang Merah supaya menyediakan bekalan air bersih untuk golongan kanak-kanak dan individu yang sakit kerana mereka terpaksa minum air kotor dan menjamah makanan sudah rosak.

"Kami terperangkap ketika ofensif di al-Shifa terus diperhebatkan," ujarnya dalam nada sebak.

Artikel Berkaitan:

Terdapat laporan mengejutkan, wanita hamil juga tidak terlepas menjadi mangsa nafsu binatang rejim Zionis dan perbuatan jahat itu disahkan suami mangsa.

"Isterinya dipaksa menanggalkan pakaian dan kemudiannya dia dipukul. Dia merayu kepada mereka dan maklumkan sedang hamil lima bulan, namun langsung tidak dihiraukan tentera Israel.

"Selepas beberapa jam, wanita itu diheret di hadapan suami serta anak-anaknya lalu memperkosanya.

"Lebih kejam, mereka mengarahkan lelaki itu supaya tidak menutup mata dan saksikan sendiri isterinya 'diratah' atau akan ditembak jika tidak mengikut arahan tersebut," lapor aktivis Palestin memetik kenyataan lelaki malang itu. - Agensi

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!