'GRS pun tidak mahu bekerjasama dengan Warisan'

Nizam ketika ditemui pemberita pada majlis berbuka puasa di SICC, Kota Kinabalu.
Nizam ketika ditemui pemberita pada majlis berbuka puasa di SICC, Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan membidas kenyataan Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bahawa mereka juga tidak mahu menjalinkan kerjasama untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Menjawab pertanyaan pemberita, beliau menyedari bahawa Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di bawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor kini menjadi sasaran pihak pembangkang.

"Mungkin itu adalah tugas mereka untuk terus menjadi pembangkang kerana dalam pemikiran mereka hanya menidakkan segala usaha baik yang dilakukan kerajaan GRS-Pakatan Harapan (PH) Plus yang terbukti telah mengubah kedudukan ekonomi Sabah.

"Jadi kita pun tidak mahu bekerjasama dengan mereka," katanya ketika ditemui pada majlis berbuka puasa di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini pada Ahad.

Media sebelum ini melaporkan Mohd Shafie enggan bekerjasama dengan GRS kerana tindakan gabungan parti itu 'membeli' 11 wakil rakyat partinya.

Sementara itu, ditanya adakah GRS akan mengadakan perbincangan dengan UMNO-Barisan Nasional (BN) untuk bekerjasama, Nizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas memaklumkan bahawa GRS bersiap sedia dengan pelbagai kemungkinan namun enggan mengambil tahu mengenai perancangan UMNO yang dikatakan mahu bekerjasama dengan Warisan.

"Berkaitan UMNO dan Warisan, saya tidak mahu komen kerana itu urusan parti mereka. Kepada siapa mereka mahu bergabung terserah pada mereka.

"Yang penting fokus kita sekarang ialah untuk membangunkan negeri kerana kita masih ada satu tahun setengah untuk melaksanakan apa juga program yang kita rancang yang boleh dimanfaatkan rakyat dan negeri Sabah," tegasnya.

Artikel Berkaitan: