Polis Kelantan lulus 159 permohonan permit jual bunga api, mercun

Muhamad Zaki. Foto Bernama
Muhamad Zaki. Foto Bernama
A
A
A

KOTA BHARU - Polis Kelantan meluluskan 159 daripada 267 permohonan permit menjual bunga api dan mercun sempena sambutan Aidilfitri setakat ini.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, baki permohonan berkenaan sedang dalam proses penelitian dan akan selesai dalam tempoh terdekat.

Beliau berkata, polis akan menahan individu terlibat dengan aktiviti menjual mercun dan bunga api secara haram.

"Apabila kami menerima maklumat daripada orang awam ada individu atau peniaga yang menjual secara haram tindakan tegas akan diambil kepada mereka yang menjual tanpa permit yang dikeluarkan oleh pihak polis.

"Selain itu, kami melihat aktiviti penyeludupan mercun dan bunga api semakin berkurangan selepas kejadian letupan berlaku di stor menyimpan mercun dan bunga api di Tak Bai, Thailand, baru-baru ini," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Cawangan Khas Kelantan dan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Kelantan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini pada Ahad.

Muhamad Zaki berkata, pada 16 Mac lepas, polis merampas 118 paket mercun bola yang mengandungi 11,800 biji yang ditinggalkan berdekatan pangkalan haram Pok The, Jeram Perdah di Pasir Mas namun tiada tangkapan dibuat.

Katanya, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28