Langkah tepat tolak tawaran anjur Sukan Komanwel 2026

Laporan Sukan Sinar. Gambar kecil: Zainal Abidin
Laporan Sukan Sinar. Gambar kecil: Zainal Abidin
A
A
A

LANGKAH kerajaan untuk tidak menerima tawaran Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 2026 sebagai satu keputusan yang bijak dan tepat.

Penganalisis sukan, Zainal Abidin Rawop berkata, menolak peluang tersebut tidak bermakna Malaysia terlepas untuk menjadi tuan rumah buat temasya lain termasuk Sukan SEA dan kejohanan dunia.

Menurutnya, menerusi penganjuran kejohanan antarabangsa, Malaysia akan tetap menjadi tumpuan dunia, sekali gus mampu menarik kedatangan warga sukan antarabangsa ke negara ini.

“Sebenarnya Malaysia boleh berada di mata dunia dalam persada sukan dengan menjadi tuan rumah kepada kejohanan besar yang lain seperti Kejohanan Renang Dunia, badminton dan bola sepak Bawah 23 tahun.

“Menerusi kejohanan ini, peminat sukan akan tertumpu kepada Malaysia, Jangan susah hati. Banyak lagi acara lain yang besar boleh kita anjur. Sukan SEA boleh dianggap besar untuk Malaysia, cukup dan memadai buat kita,” katanya kepada Sukan Sinar pada Sabtu.

Kerajaan pada Jumaat memutuskan untuk menolak tawaran CGF sebagai tuan rumah temasya Sukan Komanwel 2026.

Menurut Kementerian Belia dan Sukan (KBS), keputusan itu dibuat hasil mesyuarat Jemaah Menteri yang bersidang pada Jumaat setelah meneliti semua aspek penganjuran dan implikasi.

Ketika ini kerajaan mahu memberi fokus kepada pembangunan sukan serta kebajikan dan kesejahteraan rakyat

Artikel Berkaitan:

Justeru, Zainal Abidin berharap Kerajaan menerusi KBS, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Persatuan Sukan Kebangsaan (NSA) memberi tumpuan membangunkan atlet muda serta memperkasa atlet elit untuk lebih menyinar di pentas antarabangsa.

“Pada masa sama fokus kepada pembangunan atlet untuk Sukan SEA, Sukan Asia, Komanwel dan Sukan Olimpik, selain kejohanan peringkat dunia bagi semua jenis sukan,” katanya.

Kali terakhir Malaysia menjadi tuan rumah Sukan Komanwel adalah pada 1998 dan kembali menerima tawaran penganjuran sukan tersebut bagi tahun 2026 selepas Victoria, Australia menarik diri sebagai penganjur.

Victoria yang sepatutnya menjadi tuan rumah edisi ke-23 menarik diri pada Julai tahun lalu disebabkan kenaikan kos penyelenggaraan dari jangkaan awal A$2.6 bilion (sekitar RM8.09 bilion) kepada A$7 bilion (kira-kira RM21.78 bilion).

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28