Si cilik harumkan nama negara di pentas dunia

Sembilan murid mengharumkan nama negara apabila dinobat sebagai penerima pingat emas bagi Pertandingan Olimpiad Matematik Antarabangsa Dunia (WIMO) di Tokyo, Jepun. - Facebook SMO Malaysia
Sembilan murid mengharumkan nama negara apabila dinobat sebagai penerima pingat emas bagi Pertandingan Olimpiad Matematik Antarabangsa Dunia (WIMO) di Tokyo, Jepun. - Facebook SMO Malaysia
A
A
A

SHAH ALAM – Sembilan murid Malaysia berjaya mengharumkan nama negara apabila dinobat sebagai penerima pingat emas bagi Pertandingan Olimpiad Matematik Antarabangsa Dunia (WIMO) yang berlangsung di Tokyo, Jepun.

Perkara itu diumumkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menerusi satu kenyataan hari ini.

“Kami sangat berbangga dengan kejayaan menakjubkan yang diraih sembilan pelajar Malaysia, yang layak bersaing dalam Pertandingan Olimpiad Matematik Antarabangsa Dunia (WIMO) di Tokyo, Jepun.

“Kesemua mereka berjaya membawa pulang pingat, menjadikan Malaysia muncul sebagai juara keseluruhan pertandingan itu dengan keputusan terbaik iaitu dua juara dunia, enam emas dan satu gangsa,” kata Mohamed Azmin.

Gelaran juara dunia dan meraih pingat emas dirangkul murid Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kwang Hwa, Yeoh Yi Shuen dan SJKC Min Terk, Teoh Zhou Zhe.

Sementara, enam pingat emas lain berjaya digondol oleh lima murid SJKC Jalan Davidson iaitu Alvis Leow Jin Ker, Brandon Choo Sze How, Chai Feng Ze, Hoo Jordan dan Hoo Xinyi serta seorang murid SJKC Baru 2 Serdang, Tang Yi Xuan manakala pingat perak pula dimenangi murid SJKC Perempuan China, Cheah Jor Wii.

Pertandingan Olimpiad Matematik Antarabangsa Dunia (WIMO) berlangsung di Tokyo, Jepun. - Foto SMO Malaysia
Pertandingan Olimpiad Matematik Antarabangsa Dunia (WIMO) berlangsung di Tokyo, Jepun. - Foto SMO Malaysia

Mengulas lanjut Mohamed Azmin berkata, pendidikan adalah asas pembangunan negara dan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan memulakan dasar baharu bagi memperbaharui sistem pendidikan Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Tegasnya, melalui Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, penekanan diberikan kepada pendidikan sebagai langkah asas ke arah menutup perbezaan ekonomi dan pembangunan antara kelas pendapatan, wilayah dan komuniti.

“Kementerian Hal Ehwal Ekonomi bekerja rapat dengan Kementerian Pendidikan melalui penglibatan pihak berkepentingan untuk mengendalikan prinsip dan objektif kemakmuran bersama dalam penyediaan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), rancangan jangka sederhana lima tahun yang akan menawarkan pelan pembangunan yang jelas untuk negara dari 2021 hingga 2025.

“Malaysia mesti bersedia untuk menghadapi keadaan geopolitik dan ekonomi yang mencabar pada awal Revolusi Perindustrian Keempat. Saya yakin pendekatan bersatu dan holistik yang ditekankan kerajaan akan memastikan kita berjaya melakukan pembaharuan dalam pendidikan demi manfaat generasi akan datang,” katanya.