Tak boleh hanya harap Faisal, Arif Aiman

Faisal (kanan) mengelecek pemain Oman ketika aksi di Kompleks Sukan Sultan Qaboos, Jumaat lalu.
Faisal (kanan) mengelecek pemain Oman ketika aksi di Kompleks Sukan Sultan Qaboos, Jumaat lalu.
A
A
A

BANYAK elemen yang perlu diperbaiki skuad Harimau Malaya sebelum melayan kunjungan Oman dalam aksi keempat Kumpulan D pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026 / Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Selasa ini.

Jurulatih berpengalaman, Irfan Bakti Abu Salim berkata, beberapa kelemahan jelas ketara ketika skuad negara tumbang kepada Oman 0-2 di Kompleks Sukan Sultan Qaboos Jumaat lalu yang sekali gus memberikan kekalahan pertama kepada Harimau Malaya dalam kempen kelayakan itu.

Menurutnya, masalah ketumpulan jentera serangan, benteng pertahanan dan lambat menekan lawan ketika hilang bola perlu diperbaiki oleh pengendali negara, Kim Pan-gon sekiranya mahu meraih kemenangan di laman sendiri.

“Tugas agak berat untuk pasukan negara melihatkan kepada persembahan pada perlawanan di Oman. Jentera serangan kita agak tumpul dan jelas kita tidak ada pemain nombor 9 di hadapan.

“Selama mana kita nak gunakan Faisal Halim dan Arif Aiman sahaja untuk menyerang kerana lawan akan mudah dapat baca taktikal itu.

“Kita juga lambat menekan apabila hilang bola dan pemain Oman ini semuanya laju-laju serta ada fizikal yang baik. Agak mudah mereka menghukum kita dengan kelemahan itu,” katanya kepada Sukan Sinar pada Sabtu.

Kekalahan kepada Oman pada perlawanan pertama menyaksikan skuad negara jatuh ke kedudukan ketiga Kumpulan D, dibezakan jumlah jaringan walaupun mempunyai mata yang sama dengan dua lagi pasukan teratas.

Irfan berkata, skuad negara perlu mencatatkan kemenangan di Stadium Nasional Bukit Jalil sekiranya berhasrat untuk mara ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026.

Artikel Berkaitan:

“Kita tidak boleh hilang mata di Bukit Jalil sebab selepas ini kita akan ke Kyrgyzstan dan berdepan Taiwan. Kita tidak tahu apa yang akan berlaku.

“Jadi, untuk selamat kita perlu menang ketika menentang Oman. Tak boleh seri dan apa juga cara, pemain negara kena bermain dengan semangat luar biasa serta tunjukkan kemampuan mereka di hadapan penyokong sendiri,” katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!