Sultan Perak terima serahan zakat MAIPk lebih RM9 juta

Sultan Nazrin (kanan) menyerahkan terimaan zakat perniagaan kepada Mohd Annuar di Istana Iskandariah di sini pada Sabtu. Foto Pejabat MB Perak.
Sultan Nazrin (kanan) menyerahkan terimaan zakat perniagaan kepada Mohd Annuar di Istana Iskandariah di sini pada Sabtu. Foto Pejabat MB Perak.
A
A
A

KUALA KANGSAR - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menerima serahan zakat perniagaan daripada enam buah syarikat korporat berjumlah RM9.26 juta kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) di Istana Iskandariah di sini pada Sabtu.

Majlis penyerahan zakat berkenaan disempurnakan pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Media, NGO, Sektor Korporat, Swasta, Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan Belia.

Pegawai Yang Menjalankan Tugas Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk, Wan Maizura Wan Zahari berkata, Lembaga Tabung Haji menyerahkan zakat perniagaan tertinggi iaitu RM7.47 juta menerusi Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Syed Hamadah Syed Othman.

Menurutnya, penyerahan zakat perniagaan itu didahului oleh Bank Pembangunan Malaysia Berhad yang diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Roni Abdulwahab dengan bayaran berjumlah RM947,217 disusuli oleh Empayar Indera Sdn Bhd yang diwakili oleh Pengurus Besarnya, Hasrin Abdul Rahman dengan jumlah RM200,000.

Sementara itu, PINS Network Solutions Sdn Bhd yang diwakili oleh Ketua Pegawai Operasinya, Adi Reza Abd Razak turut menunaikan zakat sebanyak RM300,000 manakala Koperasi Guru-Guru Melayu Kerian dan Selama Berhad yang diwakili oleh Pengerusi Koperasi, Mohd Shafie Md Rejab juga menyerahkan zakat perniagaan sebanyak RM100,000.

Beliau berkata, Koperasi Peserta-Peserta Rancangan Felcra Seberang Perak Berhad yang diwakili oleh Pengerusi Koperasi, Shamsuddin Yusof pula menyerahkan zakat perniagaan mereka dengan bayaran berjumlah RM248,130.13.

Turut berangkat pada majlis tersebut, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Majlis turut disaksikan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dan Yang Dipertua MAIPk, Tan Sri Mohd Annuar Zaini.

Artikel Berkaitan: