Peniaga buat kecoh, halang operasi penguat kuasa

Tangkap layar tular insiden kekecohan di sebuah premis makanan di Taman Rinting.
Tangkap layar tular insiden kekecohan di sebuah premis makanan di Taman Rinting.
A
A
A

PASIR GUDANG - Polis sedang menjalankan siasatan insiden kekecohan pemilik premis yang menghalang penguatkuasa Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) menjalankan operasi yang video kejadiannya tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd Sohaimi Ishak berkata, kejadian itu dilaporkan berlaku di sebuah premis perniagaan di kawasan Taman Rinting, Masai, pada jam 10.25 malam pada Khamis lalu.

"Individu dipercayai pemilik premis menghalang penguat kuasa MBPG menjalankan Ops Bersepadu bersama polis trafik IPD Seri Alam yang mengawal lalu lintas di kawasan tersebut.

"Siasatan awal polis mendapati operasi tersebut dijalankan sejajar dengan peruntukan Seksyen 50(1) Undang-undang Kecil Perlesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MBPG) 2017 yang memberi kuasa kepada pegawai majlis untuk menyita barangan milik penghuni premis," katanya dalam kenyataan pada malam Sabtu.

Menurut Mohd Sohaimi, dalam operasi itu, MBPG telah menyita 64 kerusi dan 12 meja milik pengusaha restoran itu yang diletakkan di laluan pejalan kaki dari bahagian belakang restoran sehingga menyebabkan halangan.

Katanya, ia menyalahi Seksyen 46(1)(d) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 kerana meletakkan alat guna niaga di tempat awam sehingga berlaku halangan.

"Siasatan dibuat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas danSeksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Pihak polis menasihatkan orang awam agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan sekali gus boleh menimbulkan salah faham dalam kalangan masyarakat," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum itu, video berdurasi tiga minit 17 saat memaparkan insiden kekecohan di premis makanan itu tular di media sosial dan mengundang pelbagai komen dan kritikan terhadap pihak berkuasa.