Ops Kilau Samudera: Tiga lelaki positif dadah ditahan

Tiga lelaki positif yang ditahan dalam operasi bersepadu Ops Kilau Samudera sekitar perairan muara Sungai Kuantan, pada awal pagi Sabtu.
Tiga lelaki positif yang ditahan dalam operasi bersepadu Ops Kilau Samudera sekitar perairan muara Sungai Kuantan, pada awal pagi Sabtu.
A
A
A

KUANTAN - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pahang menahan tiga individu dalam operasi bersepadu Ops Kilau Samudera sekitar perairan Sungai Kuantan, di sini pada Sabtu.

Lelaki warga tempatan berusia 32 hingga 36 tahun itu ditahan selepas dikesan positif dadah.

Anggota Maritim Malaysia bersama pegawai AADK melakukan pemeriksaan Ops Kilau Samudera di kawasan komuniti nelayan dan bot-bot nelayan di jeti persendirian sekitar muara Sungai Kuantan di sini pada Sabtu.
Anggota Maritim Malaysia bersama pegawai AADK melakukan pemeriksaan Ops Kilau Samudera di kawasan komuniti nelayan dan bot-bot nelayan di jeti persendirian sekitar muara Sungai Kuantan di sini pada Sabtu.

Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Mazlan Mat Rejab berkata, hasil ujian air kencing, seorang suspek ditahan di atas bot manakala dua lagi di jeti.

Menurutnya, ketiga-tiga lelaki itu telah diserahkan kepada pihak Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) untuk tindakan lanjut.

"Operasi bersepadu Ops Kilau Samudera bersama AADK itu dijalankan bermula jam 10 malam pada Jumaat hingga 3.30 pagi Sabtu.

"Dalam operasi itu, seramai 89 individu terdiri nelayan warga tempatan dan asing telah diperiksa dan tiga daripadanya didapati positif dadah," katanya melalui kenyataan pada Sabtu.

Mazlan berkata, seramai 53 pegawai dan anggota dari kedua-dua agensi terlibat dalam operasi tersebut menggunakan aset darat dan aset laut.

Artikel Berkaitan:

Operasi dijalankan berdasarkan maklumat risikan memfokuskan kepada aktiviti penyalahgunaan dadah dalam kalangan komuniti nelayan.
Operasi dijalankan berdasarkan maklumat risikan memfokuskan kepada aktiviti penyalahgunaan dadah dalam kalangan komuniti nelayan.

"Operasi ini dijalankan berdasarkan maklumat risikan memfokuskan kepada aktiviti penyalahgunaan dadah dalam kalangan komuniti nelayan.

"Lokasi serbuan tertumpu di kawasan komuniti nelayan dan di atas bot-bot nelayan di jeti persendirian sekitar muara Sungai Kuantan," katanya.

Ujarnya, komuniti maritim terutama nelayan di perairan Pahang diingatkan agar menjauhi sebarang aktiviti jenayah dan perlanggaran undang-undang.

"Masyarakat turut diminta menyalurkan maklumat atau aduan berkaitan sebarang aktiviti jenayah serta kecemasan di laut secara terus ke talian Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang melalui talian 09-5717345 atau MERS 999," katanya.

Dalam perkembangan lain, Mazlan berkata, seorang pemancing yang dilaporkan hilang ketika keluar memancing di kawasan perairan Pantai Beserah di sini sejak Khamis lalu ditemui selamat pada Jumaat.

Menurutnya, mangsa, Mat Alif Mat Arif, 40 ditemui jam 3.15 petang oleh nelayan tempatan di lokasi kira-kira 25 batu nautika Timur Kuala Tembeling iaitu kira-kira tiga batu nautika dari lokasi dia dilaporkan hilang.

"Bot fiber digunakan mangsa mengalami kerosakan menyebabkan dia hanyut di laut.

"Mangsa bersama bot telah ditunda ke Kuala Kuantan oleh bot nelayan tempatan dan selamat sampai di Pantai Beserah di sini kira-kira jam 4.45 petang pada Jumaat," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!