Adam Ashraf pertaruh kudrat pikat Sarjit Singh

Adam Ashraf (kiri) ketika menjalani sesi latihan skuad hoki negara di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil pada Rabu. Foto Bernama
Adam Ashraf (kiri) ketika menjalani sesi latihan skuad hoki negara di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil pada Rabu. Foto Bernama
A
A
A

PEMAIN muda, Muhammad Adam Ashraf Mohd Johari mahu mempertaruhkan kudratnya untuk memikat ketua jurulatih, Sarjit Singh bagi mewarnai sebahagian wajah baharu skuad hoki negara.

Adam Ashraf optimis kecergasan dan kemahiran yang dimilikinya mampu menambat hati barisan kejurulatihan, selain bertekad memberikan yang terbaik sepanjang sesi pemilihan berlangsung sehingga hujung bulan ini.

Pemain paling muda dalam pasukan berusia 18 tahun itu turut meluahkan perasaan bercampur baur apabila disenarai untuk sesi tersebut sebagai persiapan buat Malaysia menjelang kejohanan Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh, Perak bermula 4 hingga 11 Mei ini.

“Gembira, namun sedikit gemuruh sebab nak bersaing dengan pemain senior tetapi kalau ada rezeki, alhamdulillah. Sasaran saya nak masuk pasukan senior.

“Saya rasa ada kelebihan kemahiran dan miliki kecergasan yang baik. Lapan perlawanan yang diatur oleh jurulatih tiada masalah bagi saya,” katanya semasa sesi latihan Speedy Tigers di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil pada Rabu.

Adam Ashraf
Adam Ashraf

Pemain kelahiran Tumpat, Kelantan itu tidak menyangka apabila dipanggil menyertai kem latihan tersebut kerana tidak beraksi dalam kancah Liga Hoki Malaysia (MHL) baru-baru ini.

“Saya terkejut kerana tidak beraksi dalam MHL sebab ambil SPM (Sijil Pelajaran Malaysia),” katanya yang bercita-cita mahu menjadi guru.

Artikel Berkaitan:

Sebagai rekod, Adam Ashraf menyertai skuad kebangsaan pada Piala Dunia Remaja 2023 Disember lalu dan menyumbang tiga gol ketika menentang Chile, New Zealand dan Belgium.

Seramai 42 daripada 46 pemain yang dipanggil Sarjit telah melaporkan diri pada sesi latihan pertama skuad kebangsaan yang bermula Selasa hingga 30 Mac ini.

Kem latihan itu bagi menilai keupayaan mereka sebelum dikurangkan kepada 30 orang bagi membentuk wajah baharu Speedy Tigers untuk mengharungi saingan Piala Sultan Azlan Shah dan Piala Negara-Negara di Poland pada 30 Mei hingga 1 Jun.

Kesemua pemain dibahagikan kepada tiga kumpulan untuk berentap sesama sendiri dalam lapan perlawanan sebelum senarai akhir 18 pemain dimuktamadkan pada 1 April.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28