Serangan kedua AS sasar komander IRGC di Yemen gagal

Kenderaan dinaiki Soleimani yang musnah dalam serangan dron dilancarkan AS di laluan Lapangan Terbang Antarabangsa Baghdad pada 3 Januari lalu. - Foto Agensi
Kenderaan dinaiki Soleimani yang musnah dalam serangan dron dilancarkan AS di laluan Lapangan Terbang Antarabangsa Baghdad pada 3 Januari lalu. - Foto Agensi
A
A
A

WASHINGTON - Tentera Amerika Syarikat (AS) didakwa cuba melancarkan serangan ke atas seorang lagi komander Pasukan Pengawal Revolusi Iran (IRGC) di Yemen pada hari sama Leftenan Jeneral Qasem Soleimani dan pemimpin militia, Unit Mobilisasi Popular (PMU), Abu Mahdi Al-Muhandis terkorban di Baghdad pada 3 Januari lalu.

The Washington Post memetik kenyataan pegawai di Washington dan rangkaian berita berpusat di AS melaporkan serangan yang tidak berjaya itu menyasarkan Komander Kanan Pasukan Quds di Sanaa, Abdul Reza Shahlai.

Shahlai seorang pegawai yang bergerak secara aktif membantu tentera Yemen menangkis serangan tentera gabungan Arab.

Sementara itu, New York Times juga mendakwa pentadbiran Presiden AS, Donald Trump turut menawarkan ganjaran AS$15 juta (RM61.15 juta) kepada individu dapat memberikan maklumat tentang Shahlai yang didakwa terlibat dalam rancangan membunuh Duta Arab Saudi ke Washington pada 2011.

Laporan itu didedahkan selepas Dewan Perwakilan mengecam keputusan pentadbiran Trump yang melancarkan serangan ganas ke atas pegawai kanan tentera Iran yang didakwa bertujuan untuk menjatuhkan kepimpinan Pasukan Quds.

Khamis lalu, Dewan Perwakilan AS meluluskan resolusi mengehadkan kuasa Trump daripada mengeluarkan sebarang arahan berhubung tindakan ketenteraan selanjutnya ke atas Teheran. - Agensi

ARTIKEL BERKAITAN: Soleimani dibunuh untuk 'hentikan peperangan', kata Trump

Trump ugut serang 52 lokasi jika Iran bertindak balas

Artikel Berkaitan:

Penunjuk perasaan AS bantah perang dengan Iran

Iran tawar AS$80 juta untuk kepala Trump

Dewan Perwakilan AS undi hadkan kuasa Trump ke atas Iran