Dewan Perwakilan AS undi hadkan kuasa Trump ke atas Iran

No Image Caption
A
A
A

WASHINGTON - Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS) hari ini mengundi resolusi yang menghalang kuasa Presiden Donald Trump untuk mengambil tindakan ketenteraan ke atas Iran.

Speaker Dewan, Nancy Pelosi mengumumkan langkah itu sehari selepas Iran melancarkan serangan roket menyasarkan pangkalan tentera udara Ain al-Assad dan Erbil di Iraq sebagai membalas dendam ke atas pembunuhan komander kanan Pengawal Revolusi Iran (IRGC), Leftenan Jeneral, Qasem Soleimani.

"Bagi memenuhi tuntutan dan kewajipan bagi memastikan rakyat Amerika selamat, Dewan akan bergerak ke hadapan dengan resolusi Kuasa Perang untuk mengehadkan tindakan ketenteraan presiden berhubung Iran," kata Speaker, Nancy Pelosi.

Tambah Pelosi, resolusi itu diketuai ahli Kongres, Elissa Slotskin.

Menurut Pelosi, pentadbiran Trump telah mengundang risiko dan bahaya kepada anggota tentera, diplomat serta rakyat AS di luar negara selepas membangkitkan ketegangan yang serius dengan Iran.

Katanya lagi, beberapa anggota Kongres turut menzahirkan kebimbangan yang serius mengenai strategi Trump.

"Pentadbiran harus bekerjasama dengan Kongres bagi menghalang keganasan selanjutnya. Amerika dan dunia tidak mampu berperang," kata Pelosi.

ARTIKEL BERKAITAN: Soleimani dibunuh untuk 'hentikan peperangan', kata Trump

Artikel Berkaitan:

Ketegangan Iran-AS semakin memuncak

Terdahulu, Trump mendakwa Iran tidak menunjukkan tanda-tanda mahu berperang selepas melepaskan peluru berpandu tanpa menyebabkan kematian ke atas tentera AS yang berpangkalan di Iraq.

Kenyataan itu meredakan situasi yang kelihatan tidak terkawal selepas Trump mengarahkan pembunuhan Soleimani pada Jumaat lalu.

Trump yang kini berdepan perbicaraan pemecatan di Kongres dan pemilihan semula presiden pada November depan mempertahankan strateginya untuk membunuh Soleimani.

Jutawan hartanah itu berkata, Soleimani adalah pengganas utama dunia dan sepatutnya sudah lama dibunuh. - Agensi