Singapura paling bahagia di Asia Tenggara

Singapura mengekalkan kedudukannya sebagai negara paling bahagia di Asia untuk tahun kedua berturut-turut. (Gambar hiasan) Foto AFP
Singapura mengekalkan kedudukannya sebagai negara paling bahagia di Asia untuk tahun kedua berturut-turut. (Gambar hiasan) Foto AFP
A
A
A

SINGAPURA - Singapura mengekalkan kedudukannya sebagai negara paling bahagia di Asia untuk tahun kedua berturut-turut dalam Laporan Kebahagiaan Dunia 2024.

Bagaimanapun, di peringkat global ia jatuh lima anak tangga di kedudukan ke-30, lapor Berita Mediacorp.

Laporan tahunan yang disokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu itu, dikeluarkan pada Rabu.

Ia juga mendapati warga Singapura berumur bawah 30 tahun berada pada kedudukan lebih rendah dari segi kebahagiaan yang diukur berbanding rakan mereka dan berbanding warga berusia lebih 60 tahun.

Kedudukan itu berdasarkan tinjauan pendapat global yang dijalankan oleh Gallup, firma yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), yang meminta responden menilai kehidupan mereka pada skala 0 hingga 10.

Ia meninjau kira-kira 1,000 responden setiap negara setiap tahun, dengan kedudukan setiap tahun berdasarkan data yang dikumpul untuk tiga tahun terakhir.

Untuk laporan 2024, data dari 2021 hingga 2023 telah digunakan.

Kedudukan Singapura di senarai itu terus meningkat sejak tiga laporan lalu.

Artikel Berkaitan:

Ia berada di kedudukan ke-25, ke-27 dan ke-32 di peringkat global masing-masing pada tahun 2023, 2022 dan 2021.

“Finland masih berada di kedudukan teratas, dengan Denmark kini sangat hampir dan kelima-lima negara Nordik dalam 10 kedudukan teratas,” kata laporan itu.

Bagaimanapun, lebih banyak perubahan ketara dicatat dalam 10 kedudukan seterusnya dengan beberapa negara Eropah timur meningkat dalam senarai tersebut manakala AS dan Jerman masing-masing terkeluar daripada 20 teratas kepada tempat ke 23 dan 24.

Mendahului carta global daripada 143 tempat yang ditinjau laporan tahun ini ialah Finland, diikuti oleh Denmark, Iceland, Sweden dan Israel.

Turut diletakkan di atas Singapura ialah negara-negara di benua Asia tetapi diiktiraf sebagai sebahagian daripada rantau Timur Tengah, seperti Kuwait (ke-13), Amiriah Arab Bersatu (ke-22) dan Arab Saudi (ke-28).

Malaysia menduduki tempat ke-59 manakala Indonesia di tempat ke-80. - Agensi

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!