Model sambilan didakwa bunuh kekasih

Tamilselvi dibawa ke Mahkamah Majistret Telok Datok pada bagi menghadapi pertuduhan bunuh teman lelakinya pada Jumaat.
Tamilselvi dibawa ke Mahkamah Majistret Telok Datok pada bagi menghadapi pertuduhan bunuh teman lelakinya pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LANGAT - Seorang model sambilan wanita didakwa membunuh teman lelakinya di Mahkamah Majistret Telok Datok, di sini pada Jumaat.

A Tamilselvi, 26, yang memakai baju lokap ungu, mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Maslinda Selamat.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, memandangkan kes bunuh adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa telah membunuh V Gawsigan, 26, di sebuah unit kediaman Rimbayu Perennia Jalan Flora 3D/6, di Telok Panglima Garang, Kuala Langat sekitar jam 5.30 pagi, 11 Mac lalu.

Bekas pelajar perubatan itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, peguam, Ethan Tan yang mewakili tertuduh, memohon anak guamnya itu dirujuk ke hospital bagi membuat pemeriksaan mental.

“Saya difahamkan anak guam saya ada ‘bipolar disorder’ (BPD) malah, dia juga seperti tidak dapat memahami apabila saya menjelaskan kepadanya berhubung hari kejadian.

“Tertuduh juga mempunyai masalah penyakit jantung dan dia memerlukan bantuan bateri untuk denyutan jantungnya,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, Timbalan Pendawa Raya, Khadijah Amir Hamzah tidak menawarkan sebarang jaminan memandangkan kes itu termasuk dalam peruntukan tidak boleh dijamin.

Katanya, tiada sebarang dokumen dikemukakan oleh pihak pembelaan bagi mengesahkan penyakit BPD dan penyakit jantung yang dialami oleh tertuduh.

Selepas mendengar hujahan daripada kedua-dua pihak, Maslinda menolak permohonan pihak pembelaan itu.

“Peguam perlu kemukakan dokumen berkaitan kesihatan mental dan fizikal tertuduh pada tarikh sebutan akan datang,” katanya.

Mahkamah menetapkan 25 April depan untuk tarikh sebutan semula kes dan laporan toksikologi, bedah siasat, kimia serta perubatan.

Pada Selasa, media melaporkan seorang lelaki maut dipercayai ditikam kekasihnya yang merupakan seorang model sambilan.

Difahamkan, punca kejadian dikatakan bermotifkan cemburu kerana mangsa yang merupakan jurufoto sembilan telah curang.

Suspek berusia 26 tahun itu berjaya diberkas anggota polis di sekitar kawasan Hospital Cyberjaya pada jam 12.30 tengah hari, selepas membawa kekasihnya itu ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Doktor itu kemudiannya memberikan bantuan pernafasan kecemasan (CPR) kepada mangsa namun tiada sebarang tindak balas.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28