RM129 juta untuk pembangunan infrastruktur, sistem PRAB - Petra

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) menjelaskan kos RM129 juta Program Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRAB) Fasa 1 melibatkan pembangunan infrastruktur dan sistem di lembangan Sungai Terengganu, Kelantan dan Pahang.

Petra menerusi kenyataan memaklumkan, ia juga termasuk pembinaan 347 stesen hidrologi telemetri, pemasangan 132 siren dan sistem pemodelan banjir.

Menurut kenyataan itu, data hidrologi dari stesen berkenaan dipaparkan di laman sesawang https://publicinfobanjir.water.gov.my/ sebagai makluman awal banjir kepada agensi pengurusan bencana dan orang ramai.

"Data ini juga digunakan oleh agensi lain seperti Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan badan pengurusan air negeri berdasarkan keperluan masing-masing," kata kenyataan itu pada Khamis.

Tambah kenyataan itu, sistem pemodelan banjir telah berhasil dikembangkan dengan menggunakan pendekatan hidrodinamik.

"Sistem ini mampu menghasilkan ramalan banjir untuk tujuh hari ke depan dengan menggunakan data hujan yang diramalkan oleh MetMalaysia," kata kenyataan itu.

Sebelum program itu dilaksanakan, kawasan pantai timur hanya memiliki dua model ramalan banjir yang berdasarkan model konvensional tanpa informasi ketepatan Ramalan dan Amaran Banjir mengikut kawasan (HIT) yang spesifik.

Menurut kenyataan itu, pencapaian HIT sebanyak 5.6 peratus merujuk kepada 18 kawasan yang telah mencapai ramalan amaran secara tepat iaitu apabila amaran banjir dikeluarkan dan kejadian sebenar berlaku di lokasi diramalkan.

Artikel Berkaitan:

"Pencapaian HIT tersebut telah berjaya melindungi sejumlah 4,500 penduduk dengan anggaran nilai kerugian banjir berjumlah RM5.31 juta dapat dielakkan," jelas kenyataan itu.

Sementara itu, sebanyak 56.5 peratus sekitar radius 5KM dari 183 kawasan yang diberi amaran turut mendapat manfaat.

"Dengan pencapaian ini, keberkesanan sebenar amaran banjir keseluruhan adalah 62.1 peratus," tambah kenyataan itu.

Ia sejajar dengan tahap pencapaian di peringkat global yang mana ketepatan HIT berada dalam julat 50 hingga 70 peratus.

"Ketepatan ini dipengaruhi oleh faktor-faktor pembolehubah seperti taburan hujan, angin, tekanan udara dan suhu persekitaran mengikut masa dan ruang," ujar kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, pembangunan PRAB Fasa 1 telah berjaya membangunkan data hidrologi dan amaran banjir untuk digunakan oleh pelbagai agensi pengurusan banjir seperti Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk persediaan menghadapi bencana banjir.

"Selain itu, amaran banjir disampaikan kepada orang awam melalui pelbagai platform seperti media sosial dan media massa, termasuk 5 juta pesanan khidmat masyarakat (SMS) hasil kerjasama antara Nadma dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), memberi amaran awal kepada penduduk untuk membuat persediaan sewajarnya," tambah kenyataan itu.

Sebelum ini, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berpandangan kos RM129 juta yang dibelanjakan kerajaan bagi PRAB Fasa 1 sebagai tidak berbaloi.

Pengerusi PAC Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, ini disebabkan ketepatan aras air banjir dan ramalan berhubung bila, serta di mana berlakunya banjir atau dikenali sebagai HIT tidak 100 peratus tepat.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28