Kos RM129 juta program ramalan, amaran banjir tidak berbaloi - PAC

Mas Ermieyati
Mas Ermieyati
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mendapati kos RM129 juta yang dibelanjakan kerajaan bagi Program Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRAB) Fasa 1 tidak berbaloi, kata Pengerusinya Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Beliau berkata, ia berikutan bacaan aras air banjir dan ramalan berhubung masa dan tempat berlakunya banjir (dikenali sebagai HIT) tidak 100 peratus tepat.

"PAC mendapati walaupun jumlah keseluruhan Ganti Rugi Tertentu dan Ditetapkan (LAD) telah dibayar melalui pemotongan bayaran kemajuan kontraktor, kelewatan bagi pemasangan sistem PRAB tidak sepatutnya berlaku kerana ia telah menjejaskan kehidupan sosial dan ekonomi rakyat yang terkesan dengan banjir,” katanya dalam kenyataan.

Mas Ermieyati berkata, dalam prosiding yang diadakan pada 16 Januari lepas, PAC dimaklumkan bahawa anggaran jumlah yang diperuntukkan bagi pembangunan PRAB fasa 1, fasa 2 dan fasa 3 adalah RM1.065 bilion.

"Atas sebab itu, PAC mahu baki pembangunan bagi PRAB fasa 2 dan fasa 3 disiapkan mengikut masa, kos, kualiti dan peruntukan yang telah ditetapkan sekali gus merealisasikan matlamat PRAB iaitu menyediakan perkhidmatan ramalan dan amaran banjir yang efektif dan berkesan kepada orang awam,” katanya.

PAC pada Rabu, membentangkan Laporan berhubung PRAB di bawah Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dan membuat tujuh rumusan susulan prosiding pada 16 Januari lepas dengan memanggil saksi-saksi daripada kementerian, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Jabatan Meteorologi Malaysia.

Tujuh rumusan berkenaan antara lain mendapati kelemahan dalam pengurusan projek yang menyebabkan kelewatan kerja di Lembangan Sungai Kelantan dan Terengganu sebanyak 1,829 hari, manakala kerja di Lembangan Sungai Pahang mengalami kelewatan sebanyak 1,836 hari.

PAC turut merumuskan penaiktarafan rangkaian 3G ke 4G di bawah Program Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) menyebabkan berlaku masalah penghantaran data dari stesen ke gateway yang tergantung melebihi tempoh tiga bulan berturut-turut kerana kontrak PRAB yang menggunakan rangkaian semasa iaitu 2G atau 3G.

Artikel Berkaitan:

Ia juga mendapati kos PRAB Fasa 2 yang asalnya berjumlah RM385 juta meningkat kepada RM522 juta berikutan penambahan sistem siren, kamera web dan Program Komunikasi, Pendidikan dan Kesedaran Awam (CEPA), selain kelemahan kontrak PRAB yang tidak memasukkan klausa "kenaan denda” mengakibatkan penyenggaraan pelaksanaan tidak dilaksanakan.

Dalam pada itu, sebagai langkah penambahbaikan terhadap PRAB, PAC Parlimen mengesyorkan 6 perkara kepada PETRA dan JPS untuk dilaksanakan yang antara lain termasuk PETRA dan JPS perlu memastikan baki 79 stesen daripada 118 stesen melaksanakan penukaran Remote Terminal Unit (RTU) dengan kadar segera bagi memastikan PRAB dapat berfungsi dengan sempurna.

Beliau berkata, JPS perlu memastikan penyenggaraan pencegahan dilaksanakan mengikut jadual dan kontraktor dipilih layak serta kompeten untuk melaksanakan penyenggaraan PRAB selain memastikan segala peralatan di stesen dilindungi dengan sewajarnya.

"PAC memberikan tempoh 2 bulan kepada PETRA dan JPS sebelum dipanggil semula untuk prosiding tindakan susulan bagi membolehkan Jawatankuasa ini mengetahui tindakan yang telah diambil terhadap syor syor yang dikemukakan,” kata Mas Ermieyati.

Orang ramai boleh membaca setiap keterangan dan penemuan laporan ini dengan melayari laman web PAC di alamat www.parlimen.gov.my/pac. - Bernama