Dakwaan liwat: Pemuda UMNO Johor tunggu siasatan selesai

Pada Rabu, polis mengesahkan menerima lima laporan berkaitan kes liwat terhadap enam lelaki termasuk tiga pelajar sekolah. Gambar kecil: Noor Azleen
Pada Rabu, polis mengesahkan menerima lima laporan berkaitan kes liwat terhadap enam lelaki termasuk tiga pelajar sekolah. Gambar kecil: Noor Azleen
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pemuda UMNO Johor menunggu pihak polis melengkapkan siasatan dan pendakwaan dibuat sebelum mengambil tindakan susulan terhadap pemimpin pemuda yang terpalit dakwaan kes liwat.

Ketua Pemuda UMNO Johor, Noor Azleen Ambros berkata, ia penting sebelum apa-apa tindakan diambil termasuk mempertimbangkan status keahliannya bersama parti.

"Kita tidak boleh jatuh hukum kepada individu terbabit selagi dia tidak dituduh dan didapati bersalah di mahkamah, kita juga perlu menghormati hak dia sebagai ahli.

"Jadi, buat masa ini kita biarkan proses undang-undang itu berjalan (menunggu polis melengkapkan siasatan dan dibicarakan).

"Selagi dia tidak didapati bersalah atau dia sendiri mengaku bersalah, status keahliannya masih kekal, melainkan individu tersebut tidak mahu mengheret parti dan dengan sendirinya memilih untuk letak jawatan secara sukarela," ujarnya.

Pada Rabu, polis mengesahkan menerima lima laporan berkaitan kes liwat terhadap enam lelaki termasuk tiga pelajar sekolah.

Ketua Polis Daerah Mersing, Superintenden Abdul Razak Abdullah Sani berkata, susulan itu, pihaknya telah menahan seorang lelaki berusia lingkungan 30-an semalam bagi membantu siasatan.

Bagaimanapun, lelaki itu dibebaskan dengan jaminan polis selepas tempoh remannya selama tiga hari bermula Selasa berakhir pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, sayap parti itu tidak boleh mengambil tindakan sebarangan walaupun mempunyai beberapa opsyen terhadap individu terpalit kes itu.

"Semua hal berkaitan keahlian akan mengikut lunas-lunas perlembagaan dalam parti," ujarnya.