Pangku Menteri Pendidikan sementara sahaja, kata Tun M

Dr Mahathir tersenyum ceria ketika menjawab pertanyaan para pengamal media pada majlis penutup Kejohanan Antarabangsa Diraja Langkawi (RLIR) 2020 edisi ke-18 hari ini. Turut bersama, Ahli Jawatankuasa RLYC Tunku Yaacob Khyra (kiri). - Foto Bernama
Dr Mahathir tersenyum ceria ketika menjawab pertanyaan para pengamal media pada majlis penutup Kejohanan Antarabangsa Diraja Langkawi (RLIR) 2020 edisi ke-18 hari ini. Turut bersama, Ahli Jawatankuasa RLYC Tunku Yaacob Khyra (kiri). - Foto Bernama
A
A
A

LANGKAWI - Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan bahawa beliau akan melepaskan segera jawatan Menteri Pendidikan yang dipangkunya sebaik sahaja mendapat penggantinya.

Beliau berkata jawatan berkenaan hanya dipegangnya buat sementara waktu sahaja dan bakal menteri baharu nanti akan dilantik dalam kalangan Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) juga.

"Bila dapat pilih satu orang untuk ambil alih (jawatan Menteri Pendidikan) akan lepas jawatan ni, cuma sementara sahaja," katanya kepada pemberita selepas majlis menyampaikan hadiah kepada pemenang Kejohanan Regatta Antarabangsa Diraja Langkawi (RLIR) 2020, di sini, malam ini.

ARTIKEL BERKAITAN: PM pangku jawatan Menteri Pendidikan

Semalam, Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataannya berkata Dr Mahathir memangku jawatan Menteri Pendidikan berkuatkuasa 3 Jan lepas, seperti diputuskan oleh Jemaah Menteri dalam mesyuarat Kabinet pada Rabu lepas (8 Januari).

ARTIKEL BERKAITAN: 'Saya pulangkan jawatan ini kepada Perdana Menteri..'

Pada 2 Januari lepas, Dr Maszlee Malik mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Menteri Pendidikan berkuatkuasa 3 Jan selepas mendapat nasihat Dr Mahathir, selepas memegang portfolio itu selama 20 bulan.

Sementara itu, ditanya adakah pelantikan Menteri Pendidikan baharu ini memberi bayangan bahawa akan berlaku rombakan Kabinet dalam masa terdekat, beliau berkata, "Tidak tahulah mengenai rombakan Kabinet, tapi tentu ada Menteri Pendidikan yang baharu."

Mengenai kemungkinan akan ada lagi menteri yang berhasrat melepaskan jawatan seperti Dr Maszlee, beliau berkata jika ada yang ingin berbuat demikian, pihaknya bersedia menerimanya.

Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata pihaknya juga sedang mengkaji adakah akan 'memecahkan' Kementerian Pendidikan dengan Pengajian Tinggi seperti yang pernah dilakukan sebelum ini.- Bernama

Artikel Berkaitan: