'Beri masa kepada Tun M'

Laporan Sinar Harian semalam.
Laporan Sinar Harian semalam.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Semua pihak diminta agar tidak memberikan tekanan dan mendesak Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam menamakan Menteri Pendidikan baharu secepat mungkin.

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Terengganu, Senator Datuk Razali Idris berkata, walaupun Dr Mahathir hanya memangku jawatan itu sehingga Menteri Pendidikan baharu dilantik, beliau adalah individu yang paling layak untuk menjaga kementerian itu ketika ini tatkala pelbagai isu melanda.

Menurutnya, beliau percaya Perdana Menteri turut mempunyai calon-calon berwibawa untuk menerajui kementerian itu.

"Pertamanya, calon mestilah datang daripada Bersatu kerana ia memang diperuntukkan untuk Bersatu, jadi tidak perlu parti lain memperlekeh.

"Dalam keadaan sekarang, kita tidak mahu ada parti lain yang mendesak agar Perdana Menteri membuat keputusan yang cepat kerana ia hanya akan merosakkan hubungan dan kerukunan dalam Pakatan Harapan (PH).

"Beri masa kepada Dr Mahathir untuk menerajui kementerian dan memilih calon pengganti yang benar-benar layak kerana jawatan sebagai Menteri Pendidikan perlu diberikan kepada individu yang berpengalaman luas," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung jawatan Menteri Pendidikan yang dipangku Dr Mahathir berkuat kuasa 3 Januari lalu susulan peletakan jawatan Dr Maszlee Malik melalui pengumuman dibuat bekas Menteri Pendidikan itu pada 2 Januari lepas.

Sementara itu, ditanya individu yang paling sesuai untuk menerajui kementerian itu, beliau berkata, terdapat beberapa tokoh berpengalaman dalam Bersatu termasuk yang pernah menjadi timbalan menteri dan menteri.

Artikel Berkaitan:

"Tapi jika dilihat kepada pengalaman luas, saya melihat Tan Sri Muhyiddin Yassin (Presiden Bersatu) adalah individu yang paling sesuai kerana beliau mempunyai pengalaman menerajui banyak kementerian termasuklah Kementerian Pendidikan.

"Bagaimanapun, saya percaya Perdana Menteri mempunyai formulanya dan penilaiannya sendiri dalam memilih individu yang bersesuaian menerajui Kementerian Pendidikan," katanya.