Impian Perlis ke Liga Super musnah

Skuad Perlis tidak memperoleh lesen susulan kegagalan memenuhi syarat tambahan yang diperlukan oleh FIB. Foto Agensi
Skuad Perlis tidak memperoleh lesen susulan kegagalan memenuhi syarat tambahan yang diperlukan oleh FIB. Foto Agensi
A
A
A

IMPIAN Perlis United FC (PUFC) untuk bersaing dalam kancah Liga Super musim ini musnah selepas kelab itu tidak memperoleh lesen kebangsaan dari First Instance Body (FIB) susulan kegagalan memenuhi syarat tambahan yang diperlukan.

Perkara itu disahkan Pengerusi FIB, Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif menerusi satu kenyataan sekali gus memaklumkan hanya 13 pasukan akan berentap dalam saingan Liga Super bagi musim 2024/25.

FIB mendapati PUFC gagal tiga daripada empat syarat tersebut apabila tidak mengemukakan sebarang dokumen seperti yang diminta dan melanggar semua tarikh akhir yang diberikan.

“FIB menetapkan syarat untuk memastikan semua usaha wajar kewangan diselesaikan sebelum mengeluarkan sebarang lesen kepada PUFC mengikut kriteria tambahan seperti bukti dana yang diterima dalam akaun PUFC berjumlah RM5 juta seperti dalam cek yang dikemukakan sebelum 9 Mac 2024.

“Pengisytiharan yang ditandatangani oleh pegawai dan pemain bahawa tiada hutang tertunggak pada 31 Disember 2023 sebelum 13 Mac 2024 dan bukti perjanjian penajaan yang dicop antara PUFC dan setiap satu daripada empat penaja berpotensi yang akan diserahkan sebelum 15 Mac 2024.

“Pembayaran dana tajaan pertama yang diterima oleh PUFC daripada penaja di atas berdasarkan syarat pembayaran tajaan sebelum 22 Mac 2024.

“Walaupun tarikh akhir penyerahan pada 22 Mac 2024 masih belum berakhir, namun FIB mengesahkan bahawa PUFC telah gagal tiga daripada empat syarat awal itu sekali gus FIB memutuskan untuk tidak memberikan lesen Liga Super 2024/25 kepada PUFC,” kata Sheikh Mohd Nasir.

Sheikh Mohd Nasir menjelaskan keputusan berkenaan terpaksa dibuat bagi memastikan hanya pasukan yang benar-benar berkemampuan daripada segi kewangan dibenarkan beraksi dalam Liga Malaysia (Liga-M).

Artikel Berkaitan:

“FIB mengekalkan syarat ketatnya demi untuk menjaga kestabilan kewangan liga dan kelab-kelab serta proses usaha wajar kewangan ini dilaksanakan dengan teliti.

“Ini bagi memastikan Liga-M tidak menghadapi kebimbangan kewangan sekiranya PUFC dibenarkan bertanding,” katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28