Penguatkuasaan, tindakan disiplin perlu tegas terhadap individu salah laku rasuah

Rosdi Amir (kiri), Laporan Sinar Harian
Rosdi Amir (kiri), Laporan Sinar Harian
A
A
A

SHAH ALAM - Penguatkuasaan dan tindakan disiplin perlu kekal tegas terhadap individu yang terbabit isu salah laku rasuah bagi mengekang jenayah itu termasuk aktiviti penyeludupan tembakau, arak serta rokok.

Setiausaha Agung Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Rosdi Amir berkata, kaedah tersebut mesti bermula di peringkat awal merangkumi sektor awam dan swasta.

"Antaranya ialah penggantungan kerja dan tugas secara total tanpa gaji sementara sehingga proses perundangan selesai. Seandainya staf berkenaan didapati bersalah oleh mahkamah, maka proses pemecatan boleh dilakukan.

"Sebaliknya sekiranya individu berkenaan dilepas dan dibebaskan oleh mahkamah, maka gaji tertunggak selama penggantungan perkhidmatannya dibayar semula," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Pada Ahad, Sinar Harian melaporkan lapan kenderaan mewah dianggarkan bernilai hampir RM6 juta milik individu yang dipercayai terbabit dalam sindiket penyeludupan tembakau, arak dan rokok disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerusi operasi di sekitar Lembah Klang sejak 11 mac lalu.

Operasi besar-besaran yang dijalankan itu turut membongkar tindakan sindiket yang dipercayai memberi wang rasuah lebih RM8 juta kepada beberapa individu termasuk penjawat awam bagi melancarkan kegiatan penyeludupan terbabit.

Menurut sumber, kesemua kenderaan mewah itu disita Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM antaranya dua buah Lamborghini, (1) Lexus, (1) Mercedes, (1) BMW, (1) Volvo dan (2) Toyota.

Operasi serta serbuan tersebut turut dijalankan dengan kerjasama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Bank Negara Malaysia (BNM) dan kesemua kenderaan berkenaan disita daripada beberapa individu terlibat.

Artikel Berkaitan:

Tambah Rosdi, kesedaran rakyat tentang jenayah sindiket yang hanya merugikan masyarakat dan ekonomi negara itu telah menjadi pemangkin kepada orang ramai untuk membantu SPRM dengan menyalurkan maklumat sahih.

Ujar beliau, komitmen tersebut dilengkapkan lagi dengan daya usaha pasukan penyiasat agensi bermula dengan menerima laporan, menilai, mengumpul maklumat dan bukti-bukti sahih sehingga penangkapan serta rampasan.

"Namun harus diingat, segala fakta dan bahan bukti tersebut hendaklah padu dan mantap agar di mahkamah kelak ia tidak mudah dicabar oleh pasukan tertuduh.

"Hal ini penting bagi meyakinkan mahkamah untuk mensabitkan kesalahan tertuduh serta menjatuhkan hukuman yang setimpal seterusnya menjadi peringatan kepada mereka yang ingin mencuba terlibat dalam sindiket ini supaya melupakan hasrat mereka," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!