Lapan kenderaan mewah bernilai RM6 juta disita

Antara kenderaan yang disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerusi operasi sekitar Lembah Klang sejak Isnin lalu.
Antara kenderaan yang disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerusi operasi sekitar Lembah Klang sejak Isnin lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Lapan kenderaan mewah dianggarkan bernilai hampir RM6 juta milik individu yang dipercayai terbabit dalam sindiket penyeludupan tembakau, arak dan rokok disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerusi operasi di sekitar Lembah Klang sejak Isnin lalu.

Operasi besar-besaran yang dijalankan itu turut membongkar tindakan sindiket yang dipercayai memberi wang rasuah lebih RM8 juta kepada beberapa individu termasuk penjawat awam bagi melancarkan kegiatan penyeludupan terbabit.

Menurut sumber, kesemua kenderaan mewah itu disita Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM.

"Antara kenderaan mewah berkenaan terdiri daripada dua Lamborghini, (1) Lexus, (1) Mercedes, (1) BMW, (1) Volvo dan (2) Toyota.

"Operasi serta serbuan ini turut dijalankan dengan kerjasama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Bank Negara Malaysia (BNM)," katanya.

Antara kenderaan yang disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerusi operasi sekitar Lembah Klang sejak Isnin lalu.
Antara kenderaan yang disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerusi operasi sekitar Lembah Klang sejak Isnin lalu.

Tambahnya, kesemua kenderaan ini disita daripada beberapa individu terlibat.

"Kesemua mereka ini terdiri daripada individu yang berjawatan sebagai pemilik syarikat serta orang tengah yang membuat bayaran wang sogokan kepada pegawai-pegawai di sebuah agensi penguat kuasa.

Artikel Berkaitan:

"Siasatan turut mendapati sindiket dikesan terbabit aktiviti pengubahan wang haram dengan mencuci duit menggunakan akaun perniagaan syarikat hantu melalui pengurup wang dan syarikat pinjaman wang berlesen," katanya.

Jelasnya, kegiatan haram ini dipercayai telah menyebabkan ketirisan hasil cukai yang dianggarkan lebih daripada RM400 juta.

"Sindiket dipercayai menggunakan akaun keldai bagi melakukan transaksi pembayaran wang rasuah kepada penjawat awam yang bersekongkol dengan mereka," katanya.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin mengesahkan tindakan dijalankan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) dan Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28