Peniaga didenda RM70,000 simpan hidupan liar tanpa lesen

Tertuduh (kiri) bersama peguamnya ketika hadir di Mahkamah Butterworth pada Selasa.
Tertuduh (kiri) bersama peguamnya ketika hadir di Mahkamah Butterworth pada Selasa.
A
A
A

BUTTERWORTH - Seorang peniaga didenda RM70,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, pada Selasa selepas mengaku bersalah atas tujuh pertuduhan menyimpan hidupan liar yang dilindungi pada Julai tahun lalu.

Tertuduh, Loh Kok Keong, 46, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Noor Aini Yusof.

Mengikut kertas pertuduhan, Kok Keong didakwa menyimpan 197 ekor ular jenis ball python (python regius) iaitu sejenis hidupan liar yang dilindungi tanpa lesen daripada Jabatan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar (Perhilitan).

Selain itu, dia juga menyimpan beberapa jenis kura-kira eksotik antara jenis leopard tortoise, yellow footed tortoise, india star tortoise, sulcata tortoise dan dua ekor iquana hijau.

Perbuatan itu dilakukan dalam sebuah kenderaan dan dua kediaman yang beralamat di Butterworth pada 16 dan 17 Julai tahun lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 60(1)(a) Akta716 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 60(1) akta sama bagi kesemua pertuduhan.

Sabit kesalahan tertuduh boleh didenda tidak melebihi lima RM50,000 atau dipenjarakan bagi tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Tertuduh yang diwakili peguam, Foong Choon Kit merayu hukuman denda minima dikenakan terhadap anak guamnya dengan alasan tertuduh perlu menyara isteri dan dua anak lelaki yang masih bersekolah termasuk ibu bapa yang uzur.

Artikel Berkaitan:

Katanya, anak guamnya juga telah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatan itu selain berusaha memohon lesen daripada pihak Perhilitan demi menunjukkan bahawa dia bertaubat atas kesalahan dilakukannya.

Pada masa sama, beliau berkata, pengakuan bersalah yang dibuat di peringkat awal oleh anak guamnya menjimatkan masa semua pihak termasuk mahkamah.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan yang diwakili Pegawai Pendakwa Jabatan Perhilitan, Nazarudin Kamarudin memohon hukuman setimpal bagi memberi pengajaran serta pendedahan kepada masyarakat bahawa hidupan liar perlu dilindungi memandangkan ia adalah khazanah alam.

Mahkamah kemudian menetapkan denda RM70,000 terhadap kesemua pertuduhan dan sekiranya gagal bayar, tertuduh akan dipenjara selama 30 bulan.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28