Terangkan kepada anak keperluan berpuasa

Galakan berpuasa penuh pula patut diberikan kepada si kecil yang sudah berumur lapan hingga sembilan tahun. Gambar hiasan
Galakan berpuasa penuh pula patut diberikan kepada si kecil yang sudah berumur lapan hingga sembilan tahun. Gambar hiasan
A
A
A

SESI persekolahan tahun ini unik kerana bermula sehari sebelum tibanya Ramadan.

Ini menjadikan tugas ibu bapa untuk mendidik anak yang baru memasuki alam persekolahan supaya berpuasa semakin mencabar. Maklumlah, kanak-kanak mungkin mudah mengalah dengan pelawaan rakan-rakan untuk ‘berbuka’ awal.

Ditambah pula dengan kelonggaran diberikan kepada pengusaha kantin sekolah untuk beroperasi sepanjang bulan mulia ini. Pun begitu, pendekatan Kementerian Pendidikan (KPM) itu termaktub dalam Pekeliling Pengurusan Kantin Sekolah.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, kelonggaran diberikan kepada pengusaha kantin supaya murid-murid bukan Islam dan mereka yang tidak berpuasa mempunyai tempat sesuai untuk makan. Beliau tidak mahu murid-murid makan di dalam stor atau mana-mana lokasi yang tidak wajar, sedangkan setiap sekolah sudah dilengkapi kemudahan kantin.

Bagaimanapun, perkara itu menjadi polemik apabila ada yang membantah keputusan tersebut.

Seingat penulis, ketika di bangku sekolah rendah sekitar tahun 1980-an pun, kantin sekolah sememangnya dibuka biarpun majoriti muridnya beragama Islam. Namun, murid-murid pada masa itu tetap bersemangat berpuasa.

Dalam situasi ini, lebih molek sekiranya ibu bapa menitipkan ilmu mengenai puasa agar si anak tahu serba sedikit mengenai ibadah tersebut. Jangan biarkan mereka menahan lapar dan dahaga tanpa mengetahui keperluan sebenar berbuat demikian.

Dari kaca mata ahli agama pula, kanak-kanak sama ada mumaiyiz atau belum tidak diwajibkan berpuasa. Namun, sekiranya mereka memilih untuk berpuasa, ibadah tersebut dikira sah.

Artikel Berkaitan:

Malah wujud pendapat bahawa kanak-kanak perlu dilatih solat terlebih dahulu sebelum berpuasa.

Profesor Jabatan Psikologi dan Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Dr Mohd Aziz Mohamed Arif dalam hantaran media sosial berkongsi impak memaksa kanak-kanak berpuasa yang membawa kesan buruk kepada emosi.

Ujarnya, tindakan itu boleh mengakibatkan stimulus si kecil berada dalam kesengsaraan.

Justeru, apa yang lebih mustahak ialah didikan menghayati nilai-nilai puasa yang indah.

“Biarlah anak-anak kecil berasa gembira atau puasa olok-olok dahulu. Lebih penting, mereka menghayati nilai-nilai puasa iaitu sabar, jujur dan bercakap benar,” sarannya menerusi Instagram.

Beliau mencadangkan agar latihan berpuasa dimulakan seawal usia dua tahun dengan bercerita tentang keindahan Ramadan dan kegembiraan ketika berbuka. Latihan bertahap mengikut umur juga boleh dilakukan dengan berpuasa beberapa jam sehari bagi anak lima hingga tujuh tahun.

Galakan berpuasa penuh pula patut diberikan kepada si kecil yang sudah berumur lapan hingga sembilan tahun. Mencecah umur 10 hingga 12 tahun, mereka digalakkan berpuasa penuh namun diberi kelonggaran berbuka jika terlalu lapar.

Klise tetapi penting, elakkan mengugut mereka termasuk tidak boleh menyambut hari raya!

Dalam pada itu, pemakanan kanak-kanak yang sedang berpuasa tidak boleh semberono. Ia berdasarkan saranan seorang pakar pediatrik semasa penulis berpeluang mengajukan soalan berkaitan puasa yang mengakibatkan anak kecil menjadi kurus beberapa tahun lalu.

Selain defisit kalori, dehidrasi juga menyumbang kepada penurunan berat badan. Hidangan iftar kanak-kanak perlu mengandungi komponen nutrien seperti karbohidrat, protein, lemak dan serat.

Dalam menghadapi cuaca panas semasa hari persekolahan, pengambilan cecair sangat penting agar anak-anak terhidrat, sekali gus mengelakkan strok haba.

Ibu bapa dan guru perlu memantau aktiviti kanak-kanak agar tidak melakukan aktiviti berat, berpeluh atau bermain di bawah terik matahari.

Apa yang penting, jangan terlalu ‘keras’ mendidik. Jika anak sudah lembik dan tidak bermaya, benarkanlah mereka berbuka.

* Azma Mohd Lazim ialah Wartawan Digital SinarPlus

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28