Laporan G25 dakwa penubuhan MKI dan Jakim tidak ikut Perlembagaan

Kompleks Islam Putrajaya
Kompleks Islam Putrajaya
A
A
A

SHAH ALAM - Kumpulan G25 mendakwa kerajaan sebelum ini telah meminggirkan Perlembagaan apabila mewujudkan Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Di dalam laporan yang dikeluarkan G25 hari ini bertajuk Perkara Pentadbiran Mengenai Islam berkata, tiada peruntukan di dalam Perlembagaan untuk kedua-dua agensi itu ditubuhkan di peringkat nasional.

Kata laporan itu lagi, perkara-perkara yang berkaitan dengan agama dan orang Islam serta adat Melayu adalah bidang kuasa eksklusif badan perundangan dan majlis eksekutif negeri.

"G25 juga maklum bahawa kuasa Majlis Raja-raja, yang dihadkan kepada perkara-perkara yang ditetapkan dalam Perkara 38 Perlembagaan tidak termasuk menubuhkan sebuah agensi persekutuan seperti MKI atau Jakim.

“Selain itu, terdapat rasional penubuhan Jakim iaitu untuk menyelaras undang-undang syariah di antara negeri-negeri. Jika pelarasan ini diperlukan maka perkara itu boleh dicapai menggunakan Perkara 76 Perlembagaan Persekutuan,” kata laporan G25 tersebut.

Selain itu, oleh kerana penubuhan MKI dan Jakim tidak melibatkan Parlimen dan Perkara 76, laporan G25 itu turut menyebut apa jua nasihat dan cadangan yang dikeluarkan oleh kedua agensi ini akan kekal sebagai nasihat.

“Pelaksanaan cadangan dari MKI dan Jakim oleh pihak berkuasa hanya sebagai kepatuhan polisi dan dasar politik,” kata laporan itu.

G25 juga menjelaskan, Jakim di samping berkhidmat sebagai sekretariat MKI, turut diamanahkan dengan fungsi-fungsi seperti kemajuan Islam dan kegiatan dakwah.

Artikel Berkaitan:

“Fungsi-fungsi itu boleh dikatakan melebihi kuasa eksekutif persekutuan (yang boleh dijalankan Kabinet), memandangkan kuasa eksekutif persekutuan tidak termasuk agama orang Islam kecuali di Wilayah Persekutuan sahaja.

“Kabinet mengamanahkan fungsi-fungsi khusus itu kepada Jakim dan oleh itu ia tidak konsisten dengan Perlembagaan,” katanya.

Kata laporan itu lagi, fatwa yang dikeluarkan oleh Jakim juga tidak mempunyai kesan undang-undang dan hanyalah konsensus pada peringkat kebangsaan mengenai isu melibatkan umat Islam di Malaysia.

“Ia (fatwa) tidak diiktiraf di peringkat negeri sehinggalah mufti atau jawatankuasa fatwa negeri menggazetkannya menurut prosedur undang-undang negeri,” katanya.

Dalam perkara berkaitan, G25 membidas undang-undang yang menghukum seseorang berlandaskan kesalahan agama yang dilakukan.

Dalam laporan yang sama dikeluarkan G25, tindakan undang-undang terhadap individu tidak bersolat Jumaat misalnya adalah tidak wajar dan perkara itu adalah antara individu itu dengan Tuhan.

“Perkara 11(1) memberi jaminan kepada semua orang di Malaysia, bukan hanya warganegara atau bukan Islam, 3 hak yang berbeza iaitu, hak menganut, mengamalkan dan menyebarkan agamanya.

“Tidak ada asas yang dibenarkan perlembagaan untuk melarang penganutan agama seseorang,” kata laporan itu.

Selain itu, G25 berpendapat tiada orang boleh dipaksa mempercayai Tuhan dan tiada mana-mana orang boleh dipaksa kekal dalam Islam.

Bagaimanapun, kumpulan itu berkata meninggalkan Islam adalah sesuatu yang dikesali.