Mekanisme pelaksanaan subsidi bersasar masih dipertimbang

Lim Hui Ying
Lim Hui Ying
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mekanisme pelaksanaan pemberian subsisdi bersasar masih dalam pertimbangan dan dijangka tidak meningkatkan kos kepada industri sedia ada.

Malah, Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying juga menegaskan bahawa kerajaan akan tetap menitikberatkan aspek pelaksanaan dan komunikasi berkesan kepada pihak industri agar tidak menyebabkan sebarang kejutan ekonomi.

"Pelaksanaan pemberian subsidi secara bersasar ini akan dibuat secara berperingkat, tertakluk kepada ketersediaan berasaskan model bersesuaian dan kebolehlaksanaan serta mengekalkan fokus kerajaan dalam memastikan kos sara hidup rakyat tidak terjejas,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat di sini pada Isnin.

Beliau menjawab soalan Vivian Wong Shir Yee (PH-Sandakan) yang meminta Menteri Kewangan memberi butiran mengenai kaedah yang akan dilaksanakan oleh kerajaan dalam memperkenalkan skim subsidi bersasar.

Mengulas selanjutnya, Hui Ying berkata, kerajaan akan menumpukan penyasaran subsidi diesel terlebih dahulu melalui kaedah dan mekanisme diumumkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) pada 6 Mac lepas, sebagaimana dinyatakan dalam Belanjawan 2024.

"Perluasan pemberian di bawah sistem kawalan subsidi diesel 2.0 (SKDS 2.0) kepada sembilan jenis kenderaan barangan telah dibuka untuk permohonan bermula 7 Mac, 2024 yang dijangka memberi manfaat kepada lebih 260,000 kenderaan,” katanya.

Hui Ying berkata, bagi tempoh 8-16 Mac, 2024, lebih 5,800 buah syarikat dan 34,400 bilangan kenderaan telah berjaya didaftarkan dalam SKDS 2.0.

"Justeru kerajaan meminta agar semua pemilik kenderaan yang layak, berdaftar di bawah SKDS 2.0 supaya dapat terus menikmati subsidi di masa hadapan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Pengangkutan awam di bawah SKDS sedia ada termasuk van, bas sekolah serta golongan nelayan, akan terus menikmati harga diesel sedia ada dan tidak terlibat dalam progam pemberian subsidi diesel secara bersasar.

"Ketika ini semua kenderaan diesel dalam kategori pengangkutan awam di bawah SKDS sedia ada termasuk van dan bas sekolah, menikmati harga diesel bersubsidi pada kadar RM1.88 seliter manakala golongan nelayan pada harga RM1.65 seliter,” katanya.

Di samping itu, beliau berkata, kerajaan menerusi KPDN juga komited melaksanakan kawalan berterusan ke atas penjualan dan pengedaran barangan kawalan bersubsidi bagi membendung penyelewengan.

Mengulas usaha kerajaan memastikan Sabah tidak menjadi lokasi penyelewengan diesel, beliau berkata, inisiatif diambil termasuk arahan mengawal bekalan bagi larangan penjulaan RON95 dan diesel kepada kenderaan asing di stesen minyak di sempadan yang berkuatkuasa sejak 2009 dan sentiasa ditambah baik mengikut situasi semasa. - Bernama


Syarikat insurans, pengendali takaful perlu telus siasat tuntutan pengguna

KUALA LUMPUR - Bank Negara Malaysia telah menetapkan syarikat insurans atau pengendali takaful untuk menjalankan siasatan menyeluruh dan objektif terhadap semua tuntutan yang dikemukakan oleh pengguna kewangan.

Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, tuntutan itu juga perlu dilayani setelah mengambil kira faktor-faktor yang berkaitan, dan mewakili hak munasabah penuntut di bawah polisi insurans atau sijil takaful.

"Ini bagi memastikan layanan adil diberikan kepada pengguna kewangan serta memastikan syarikat insurans dan pengendali takaful memenuhi tanggungjawab dan tidak menyalahgunakan klausa pengecualian untuk menafikan tuntutan yang sah," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Ngeh Koo Ham (PH-Beruas) yang meminta Menteri Kewangan menyatakan langkah-langkah yang diambil bagi memastikan syarikat insurans bertanggungjawab atas polisi yang dikeluarkan dan tidak menggunakan pelbagai helah enggan bayar pampasan.

Hui Ying berkata, sekiranya syarikat insurans atau pengendali takaful terpaksa menolak tuntutan insurans atau takaful secara menyeluruh atau sebahagian daripadanya, ia dikendaki memberikan penjelasan yang jelas kepada pengguna kewangan mengenai rasional keputusan tersebut termasuk terma polisi atau pengecualian yang dirujuk.

Katanya, klausa pengecualian 'exclusion clause' menetapkan keadaan tertentu yang tidak dilindungi oleh sesuatu polisi - bergantung kepada jenis polisi, antara pengecualian yang lazim adalah memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah, penggunaan kenderaan yang menyalahi undang-undang, mencederakan diri sendiri, penyakit sedia ada yang tidak diisytihar atau tuntutan palsu.

"Sekiranya sesuatu keadaan berada di bawah salah satu pengecualian ini, syarikat insurans atau pengendali takaful tidak diwajibkan untuk membayar tuntutan yang berkaitan dengan peristiwa atau keadaan tersebut.

"Bagaimanapun, perlindungan tambahan dengan premium tambahan boleh diperolehi bagi pengecualian tertentu seperti malapetaka atau penyakit sedia ada," katanya.

Beliau berkata, sekiranya pemegang polisi atau peserta takaful tidak menerima perkhidmatan yang memuaskan, mereka boleh membuat aduan kepada saluran aduan yang disediakan oleh syarikat insurans atau kepada Bank Negara Malaysia melalui saluran elink.

"Tambahan pula, pengguna kewangan boleh merujuk kepada badan bebas ombudsman perkhidmatan kewangan (OFS) secara percuma untuk menangani pertikaian secara adil dan cepat sekiranya pengguna kewangan tidak berpuas hati dengan keputusan muktamad syarikat insurans atau pengendali takaful yang menolak tuntutan mereka berdasarkan klausa pengecualian," katanya.

Beliau berkata, Bank Negara Malaysia juga akan memantau dari semasa ke semasa sekiranya terdapat syarikat insurans yang palsu atau produk-produk yang tidak memenuhi atau mengikut terma atau syarat yang telah dituntut semasa insurans itu dilakukan. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28