X

Kindly register in order to view this article
!

FAM optimis pasukan Liga-M mampu selesai tunggakan gaji

Stuart Ramalingam
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) optimis, beberapa pasukan tempatan akan dapat menyelesaikan masalah tunggakan gaji, sebelum bermulanya saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2020, pada 28 Februari ini.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam memaklumkan, hanya beberapa pasukan seperti Melaka dan Kelantan yang masih berusaha untuk melangsaikan hutang sedia ada kepada pemain masing-masing setelah memberi jaminan kepada FAM, sebelum ini.

“Kita akan mengeluarkan kenyataan pada 15 Januari ini mengenai beberapa kes tunggakan hutang yang baharu melibatkan beberapa pasukan seperti Polis Diraja Malaysia dan Melaka.

ARTIKEL BERKAITAN: FAM bantu lunas hutang lapan pasukan

“Setakat ini, kita tidak menerima sebarang aduan rasmi daripada mana-mana pemain, kecuali (pemain Melaka), Mohd Shukor Adan yang mengemukakan afidavit kepada kita, berhubung tuntutan gaji beliau daripada Persatuan Bola Sepak Melaka dan kita akan menggunakan SOP (Prosedur Operasi Standard) untuk menyelesaikan isu berkenaan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Pada masa sama, Stuart turut mengulangi gesaannya supaya mana-mana pemain yang berhadapan isu tunggakan gaji dengan majikan masing-masing supaya tampil membuat aduan kepada FAM, sambil menambah badan induk itu bersikap terbuka untuk menerima sebarang laporan berhubung isu berkenaan.

Baru-baru ini, Mohd Shukor dilaporkan mengambil keputusan menghantar afidavit bagi menuntut hak gaji dan bonus daripada Persatuan Bolasepak Melaka (MUSA) kepada FAM tanpa melalui pihak ketiga.

Dilaporkan 13 lagi pemain pasukan berkenaan yang turut menghadapi masalah tunggakan gaji turut melakukan tindakan sama, namun memilih Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) untuk mewakili mereka. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!