Isu stoking: Jangan beri muka pihak mainkan isu 3R - MIICCI

Muhamad Amin
Muhamad Amin
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Kerajaan digesa mengheret pelaku yang menyentuh sensitiviti agama Islam ke muka pengadilan agar dikenakan hukuman berat termasuk mempertimbangkan untuk melucutkan kewarganegaraan mereka.

Pengerusi Dewan Perdagangan dan Perindustrian Islam Antarabangsa Malaysia (MIICCI), Muhamad Amin Fahmi berkata, pihak yang tidak bertanggungjawab menghina agama Islam dilihat seolah-olah berani menduga tahap kesabaran masyarakat Islam kerana langsung tidak cakna dan tidak menghormati agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan.

Justeru menurutnya, kerajaan tidak boleh bersikap selektif terhadap syarikat atau individu yang sengaja ingin mencetuskan keresahan dalam kalangan masyarakat Islam.

"Kerajaan Madani juga boleh pertimbang untuk lucut sahaja kewarganegaraan mereka.

"Ini bagi membuktikan kerajaan Madani tidak sesekali berkompromi dengan petualang negara yang sengaja mencetus bibit keresahan dalam kalangan masyarakat khusus dalam konteks agama Islam.

"Apakah kerajaan Madani hanya mampu membuta mata dan membisu kata tatkala isu yang sangat sensitif ini timbul?

"Pihak yang cuba mengganggu gugat 3R - agama (religion), raja (royal) dan kaum (race) tidak wajar diberikan muka," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Mengulas lanjut, Muhamad Amin berkata, MIICCI selaku sebuah dewan perdagangan antarabangsa yang terdiri daripada pedagang-pedagang beragama Islam mengeji tindakan terkutuk syarikat mahupun individu yang sengaja mencetus suasana tidak harmoni dalam kalangan masyarakat Islam.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, dunia kini juga sedang memerhati rapat reaksi kerajaan berhubung isu berkenaan kerana isu agama melibatkan keharmonian sesebuah negara.

"Adakah kita hanya boleh terima jika si pelaku semudahnya memohon maaf sedangkan mereka ini dilihat langsung tidak sensitif kepada perkara utama yang melibatkan agama?

"Masyarakat Islam daripada segenap lapis persatuan serta tidak kira latar belakang politik perlu terus berpadu dan bangkit menentang segala bentuk dakyah yang cuba untuk menjatuh dan menghina agama Islam," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28