Aaron-Wooi Yik naib juara Seluruh England

Aaron-Wooi Yik bersama Fajar Alfian-Muhammad Rian. Foto Agensi
Aaron-Wooi Yik bersama Fajar Alfian-Muhammad Rian. Foto Agensi
A
A
A

IMPIAN Aaron Chia-Soh Wooi Yik untuk menamatkan kemarau 17 tahun Kejuaraan Seluruh England buat beregu lelaki negara tidak kesampaian apabila tewas kepada juara bertahan dari Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto pada Ahad.

Pasangan nombor lima dunia tewas 16-21, 16-21 kepada Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto yang berstatus nombor tujuh dunia dalam aksi 44 minit pada kejuaraan berusia 125 tahun di Utilita Arena, Birmingham tersebut.

Sebagai rekod ini kali kedua Aaron-Wooi Yik muncul naib juara dalam Seluruh England Super 1000 selepas kali pertama pada edisi 2019.

Edisi 2019, Aaron-Wooi Yik hampir bergelar juara tetapi dikecewakan gandingan Indonesia, Mohamad Ahsan-Hendra Setiawan dalam pertarungan tiga set di pentas final.

Rekod pertemuan, Aaron-Wooi Yik menang empat daripada tujuh perlawanan ke atas Fajar-Rian dengan kali terakhir menewaskan lawan itu ketika separuh akhir Terbuka India 2023 dalam pertarungan tiga set.

Sebagai rekod, kali terakhir wakil Malaysia muncul juara beregu lelaki adalah menerusi gandingan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong pada edisi 2007.

Aaron-Wooi Yik mengesahkan tiket ke final selepas menumbangkan gandingan Taiwan, Lee Jhe Huei-Yang Po Hsuan 21-16, 21-15 pada separuh akhir.

Fajar-Rian pula mara selepas menewaskan beregu Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi 21-18, 21-18 dalam satu lagi pertembungan separuh akhir.

Artikel Berkaitan:

Sebagai rekod, Kejuaraan Seluruh England menawarkan hadiah keseluruhan AS$1.3 juta (RM6.1 juta) dengan juara beregu menerima AS$96,200 (kira-kira RM452,000).

INFO

AARON CHIA-SOH WOOI YIK DI SIRI JELAJAH DUNIA PERSEKUTUAN BADMINTON DUNIA (BWF) 2024

TERBUKA MALAYSIA

Suku Akhir

Tewas kepada Seo Seung-jae-Kang Min-hyuk (Korea Selatan), 21-16, 18-21, 13-21

TERBUKA INDIA

Separuh Akhir

Tewas kepada Chirag Shetty-Satwiksairaj Rankireddy (India), 18-21, 14-21

TERBUKA PERANCIS

Suku Akhir

Tewas kepada Kang Min-hyuk-Seo Seung-jae (Korea Selatan), 19-21, 16-21

SELURUH ENGLAND

Final

Tewas kepada Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto (Indonesia), 21-16, 21-16