'Terkilan gagal selamatkan adik, rentung depan mata'

Api marak membakar keseluruhan bas ketika kejadian di Kilometer 75.2 Lebuhraya Utara Selatan arah Gurun awal pagi Ahad.
Api marak membakar keseluruhan bas ketika kejadian di Kilometer 75.2 Lebuhraya Utara Selatan arah Gurun awal pagi Ahad.
A
A
A

ALOR SETAR - Seorang lelaki terkilan kerana gagal menyelamatkan adiknya yang rentung dalam kemalangan melibatkan sebuah bas dan treler di Kilometer 75.2 Lebuhraya Utara Selatan arah Gurun awal pagi Ahad.

M. Manivannan, 50 berkata, ketika kejadian adiknya M.Jayakumar,48 tersepit di tempat duduk pemandu bas dan dia hanya mampu menangis sekuat hati melihat adiknya rentung depan mata.

Katanya, ketika itu bas ekspres terbabit dalam perjalanan dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS) Jalan Duta, Kuala Lumpur membawa empat penumpang untuk ke Hatyai, Thailand.

"Bas bertolak dari Kuala Lumpur pada jam 9.30 malam sebelum singgah di Kawasan Rawat dan Rehat (R&R) Alor Pongsu dan meneruskan perjalanan menuju ke Hatyai.

"Pada mulanya saya yang memandu bas itu sebelum adik saya mengambil alih memandu pada jam 2.30 pagi ketika singgah di Alor Pongsu, Perak," katanya ketika ditemui di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini pada Ahad.

Manivannan berkata, dia kemudian tidur di bahagian belakang bas dan terkejut apabila terdengar bunyi dentuman kuat dan ternampak kepulan asap.

"Saya berlari untuk menyelamatkan adik tetapi tidak berdaya kerana dia tersepit. Saya kemudian berlari membuka pintu kecemasan di bahagian belakang bas untuk menyelamatkan penumpang yang lain.

"Saya kemudian cuba membantu adik sambil menjerit namanya berkali-kali supaya dia sedar namun hanya terdengar dengusan nafas adik yang ketika itu masih hidup," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, dia juga cuba mengumpil tingkap di bahagian pemandu namun gagal apabila api merebak dengan cepat menyebabkan jari telunjuknya luka.

Manivannan menunjukkan gambar adiknya yang maut dalam kemalangan terbabit.
Manivannan menunjukkan gambar adiknya yang maut dalam kemalangan terbabit.

"Saya dah cuba berkali-kali untuk keluarkan adik sambil dibantu pemandu lori yang turut terlibat dalam kemalangan namun gagal.

"Saya menjerit memanggil namanya sambil menangis, tetapi adik dalam keadaan tidak sedarkan diri lalu api terus marak dan membakar keseluruhan bas," katanya.

Katanya, mendiang adiknya baharu tiga bulan bekerja dengannya sebagai pemandu bas dan adiknya tinggal di Selama, Perak.

"Dia mempunyai dua anak berusia 14 dan 17 tahun serta seorang isteri.

"Mendiang anak kelima dari 11 beradik manakala saya pula anak keempat menyebabkan hubungan kami sangat rapat.

"Sampai sekarang saya masih teringat kejadian itu kerana adik saya terbakar depan mata dan mungkin jika bantuan tiba dengan cepat, adik saya dapat diselamatkan," ujarnya sayu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, ketika kejadian kedua-dua kenderaan itu dipercayai datang dari arah sama menuju ke Alor Setar.

"Siasatan awal mendapati bas dipandu mangsa pada mulanya terlanggar bahagian belakang treler berkenaan yang dipandu seorang lelaki berusia 32 tahun.

Ahli keluarga mendiang sedang menanti di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini pada Ahad.
Ahli keluarga mendiang sedang menanti di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini pada Ahad.

"Berikutan itu, bas tersebut terbabas, melanggar besi pembahagi jalan sebelah kiri lalu terbakar. Pemandu bas itu dipercayai tersepit di tempat duduknya menyebabkannya gagal menyelamatkan diri," katanya.

Zaidy berkata, terdapat lima lagi individu dalam bas tersebut termasuk pemandu kedua.

Bagaimanapun kesemua mereka yang berusia antara 19 hingga 57 tahun berjaya menyelamatkan diri dengan keluar melalui pintu kecemasan.

Katanya, ada antara mereka mengalami luka di beberapa bahagian badan termasuk kepala.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!