Penyampai berita disiasat dakwa polis sombong, kasar

Wan Azlan
Wan Azlan
A
A
A

SUBANG JAYA - Polis menafikan dakwaan seorang penyampai berita yang menyifatkan tindakan anggota polis sebagai kasar, sombong dan tidak profesional semasa menjalankan pemeriksaan di kawasan perumahan USJ 9, Subang Jaya pada Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, seorang anggota polis telah membuat laporan selepas melihat satu artikel, kira-kira jam 12.30 tengah hari Sabtu.

"Artikel yang disyaki ditulis oleh penyampai berita itu telah dimuat naik di sebuah portal bahasa Inggeris tempatan berkaitan pemeriksaan polis terhadap seorang lelaki tempatan berusia 30-an kira-kira jam 1.30 pagi di kediamannya.

“Setelah membaca artikel tersebut, pengadu mendapati ia adalah tidak benar dan menjatuhkan imej Polis Diraja Malaysia (PDRM) secara amnya serta Polis Subang Jaya secara khususnya," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Wan Azlan berkata, artikel tersebut telah menyatakan bahawa lelaki tersebut tidak puas hati dengan tindakan polis yang kasar, sombong, tidak profesional semasa menjalankan tugas.

"Selain itu, dia mendakwa anggota polis itu tidak membenarkan dirinya bertanyakan soalan selain tidak meminta maaf selepas menjalankan pemeriksaan," katanya

Beliau berkata, pengadu telah menjalankan pemeriksaan terhadap lelaki tersebut mengikut undang-undang serta garis panduan yang ditetapkan.

“Hasil semakan dapati lelaki tersebut tiada sebarang rekod jenayah dan laporan polis pemeriksaan dibuat selepas kejadian.

Artikel Berkaitan:

“Siasatan akan dibuat secara terperinci dan akan memanggil penulis serta lain-lain saksi seawal minggu hadapan,” katanya.

Tambah Wan Azlan, kes disiasat di bawah seksyen 504 Kanun Keseksaan (Akta 574) dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 589).

“Justeru itu, orang ramai diminta supaya lebih prihatin dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada PDRM dalam usaha mencegah jenayah.

"Individu yang mempunyai maklumat berkaitan kes jenayah atau salah laku pihak polis boleh tampil menyalurkan maklumat melalui nombor telefon 03-78627100 dan segala identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28