PKR Terengganu tuntut MB isytihar jumlah simpanan royalti minyak

Azan (tengah) ketika sidang akhbar di Bangunan Keadilan pada Ahad.
Azan (tengah) ketika sidang akhbar di Bangunan Keadilan pada Ahad.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Parti Keadilan Rakyat (PKR) Terengganu menuntut kerajaan negeri mengisytiharkan jumlah simpanan terkumpul royalti minyak yang diterima sejak 1978.

Ketua Cabang PKR Kuala Terengganu, Azan Ismail berkata, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebelum ini pernah berjanji untuk bersikap telus dengan mendedahkan maklumat tersebut dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada empat tahun lepas, namun sehingga ke hari ini tiada sebarang pengumuman dibuat berhubung perkara berkenaan.

Menurutnya, rakyat Terengganu berhak mengetahui kedudukan simpanan royalti yang dianggarkan melebihi RM4 bilion kerana ia adalah jaminan kesejahteraan bagi generasi akan datang.

"Sebagaimana yang diputuskan oleh peraturan dan undang-undang, DUN Terengganu mensyaratkan supaya perlu ada simpanan RM100 juta menerusi penerimaan hasil petroleum dan minyak pada setiap tahun.

"Sekiranya perkara itu dipatuhi maka dianggarkan ada lebih RM4 bilion simpanan sekarang, namun saya bimbang adakah wujud lagi jumlah ini kerana kerajaan negeri mengambil masa terlalu lama untuk buat pengumuman," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang akhbar di Bangunan Keadilan di sini pada Ahad.

Mengulas lanjut, Azan yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar turut mempersoalkan kemampuan kerajaan Terengganu dalam menguruskan wang royalti minyak yang disifatkan tidak memberi banyak impak terhadap pembangunan negeri.

Beliau mendakwa hasil royalti minyak antara RM1.8 hingga RM1.9 bilion setahun yang diterima negeri adalah satu jumlah yang besar, namun tiada sebarang pembangunan fizikal dilihat sejak Pas mentadbir Terengganu pada 2018.

Artikel Berkaitan:

"Dana diterima ini besar selain jumlah rakyat Terengganu pula tak ramai iaitu sekitar 1.2 atau 1.3 juta orang. Kalau ikut perkapita mewah lah rakyat Terengganu.

"Dengan pemberian dana (royalti minyak) sebanyak RM1.8 bilion setahun, tidak banyak pembangunan berlaku di Terengganu dalam tempoh 10 tahun.

"Malah demografi pun tak banyak berubah. Rakyat Terengganu perlu persoal ke mana wang itu dibelanjakan," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28