TPM, Anwar teruja tonton filem Ejen Ali The Movie

Dr Wan Azizah (empat dari kiri) dan Anwar sempat menyantuni sebahagian kanak-kanak OKU dari Taman Sinar Harapan yang turut sama menyertai sesi tayangan khas filem Ejen Ali The Movie di E-Curve hari ini.
Dr Wan Azizah (empat dari kiri) dan Anwar sempat menyantuni sebahagian kanak-kanak OKU dari Taman Sinar Harapan yang turut sama menyertai sesi tayangan khas filem Ejen Ali The Movie di E-Curve hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail meluangkan masa menyantuni 50 kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) dari Taman Sinar Harapan, Cheras di sini dengan menonton filem animasi, Ejen Ali The Movie hari ini.

Ditemani suaminya yang juga Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau kelihatan sangat teruja menyempurnakan program sesi tontonan tayangan khas Ejen Ali The Movie anjuran Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di mmCineplexes, The Curve di sini.

Dr Wan Azizah berkata, sesi khas itu bertujuan membawa keceriaan kepada warga Taman Sri Harapan yang berusia lingkungan 3 hingga 16 tahun, berasaskan nilai kekeluargaan dan semangat setiakawan.

Menurutnya, program ini juga dirancang memberi pendedahan kepada kanak-kanak terbabit melalui tontonan filem di pawagam dengan harapan dapat membantu proses integrasi mereka dengan masyarakat.

"Saya mengucapkan syabas kepada Media Prima di atas penganjuran tayangan khas filem Ejen Ali The Movie yang memberi peluang kepada kanak-kanak OKU untuk turut serta menyaksikan filem ini di pawagam.

"Tahniah juga kepada Primeworks Studio dan Wau Animation, dua syarikat produksi tempatan mampu menghasilkan filem setanding filem-filem animasi antarabangsa sambil menerapkan nilai murni yang boleh dijadikan inspirasi dan teladan kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira usia," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Kumpulan Media Prima Berhad, Datuk Dr Syed Hussian Aljunid; Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima, Datuk Kamal Khalid serta Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios, Datuk Ahmad Izham Omar.

Sementara itu, Ahmad Izham sewaktu ditemui mengakui kejayaan filem Ejen Ali The Movie menguasai carta perfileman tempatan sejak mula ditayangkan pada 28 November lalu dan membolehkannya meraih kutipan tertinggi RM30 juta adalah di luar jangkaan.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, pencapaian luar biasa yang turut menyaksikan filem Ejen Ali The Movie mencatat kutipan tertinggi tahun 2019 turut membuktikan potensi industri filem animasi tempatan sangat besar dan mula diterima peminat filem antarabangsa.

"Syukur alhamdulillah filem Ejen Ali The Movie masih mendapat permintaan peminat filem luar negara untuk terus ditayangkan di Singapura, Brunei dan Indonesia sehingga kini.

"Berdasarkan pencapaian memberangsangkan ini, kita akan terus berusaha menghasilkan filem-filem animasi tempatan yang bermutu tinggi untuk disajikan kepada peminat filem dalam dan luar negara," katanya.