Peniaga bazar cari keberkatan, jangan jual makanan rosak - Zulkifli

Zulkifli beramah mesra dengan anak-anak yatim yang diraikan.
Zulkifli beramah mesra dengan anak-anak yatim yang diraikan.
A
A
A

NILAI - Peniaga dinasihatkan mencari keberkatan bulan Ramadan dengan menjual makanan yang terbaik kepada pelanggan dan bukannya dibuat secara sambil lewa.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, jual beli yang tiada keredaan daripada mana-mana pihak adalah jauh daripada konsep Islam sebenar.

"Sedap tak sedap ini subjektif kerana ada orang suka masam sikit, manis atau tawar sikit. Ia mungkin tak ikut selera kita.

"Tapi masalah basi, tak masak dan buat lebih kurang ini patut dihindarkan. Ada satu hadis Rasulullah bersabda, ALLAH sangat suka kalau peniaga menjual dalam keadaan penuh toleransi dan kasih sayang.

"Apabila jual beli dibina atas dasar reda tiba-tiba tiada keredaan, rasa tak puas hati. Ini tak mesra dan jauh daripada konsep sebenar dalam Islam," katanya.

Beliau berkata demikian ditemui pemberita pada Program Sinar Ramadan Gastrohub Nilai anjuran Gyro Gastro Sdn Bhd yang meraikan 80 anak yatim dari Pertubuhan Kebajikan Baitul Barokah di sini pada Jumaat.

Zulkifli
Zulkifli

Menurut Zulkifli, dalam surah al-Mutaffifin ayat satu hingga lima yang bermaksud urusan jual beli perlulah dilakukan secara jujur.

Artikel Berkaitan:

"Ayat ini nak beritahu kepada kita bahawa mereka (orang-orang yang curang dalam timbangan dan sukatan) dalam bab jual beli, mereka buat lebih kurang, barang timbangan tak cukup.

"Adakah mereka ini tak sangka mereka akan dibangkitkan pada hari akhirat kelak (hidup semula sesudah mati)?" katanya.

Beliau turut meminta peniaga mencontohi akhlak Rasulullah dalam menjalankan urus niaga.

"Kita tengok Rasulullah sebagai seorang peniaga yang berjaya, sahabat berjaya. Bagaimana baginda interaksi dengan pelanggan dengan cukup baik.

"Mudah-mudahan kita juga boleh buat seperti itu. Pastikan makanan masak, elok, tak basi dan kalau boleh sedap itu satu nilai tambah yang besar," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28