'Ukur baju ikut badan sendiri'

Negeri Victoria, Australia menarik diri daripada menganjurkan Sukan Komanwel 2026.
Negeri Victoria, Australia menarik diri daripada menganjurkan Sukan Komanwel 2026.
A
A
A

MALAYSIA perlu membuat pertimbangan secara holistik termasuk daripada aspek kewangan sebelum menerima tawaran Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) untuk menjadi tuan rumah menggantikan Victoria, Australia pada temasya yang berbaki dua tahun lagi itu.

Penganalisis sukan, Zainal Abidin Rawop berkata, kesan jangka sederhana dan panjang selepas berlangsung temasya tersebut juga perlu diambil kira, biarpun diuar-uarkan ia mampu menarik lebih ramai kedatangan para pelancong.

Beliau berkata, membuat keputusan dalam tempoh singkat untuk menerima tawaran tersebut bukan satu langkah yang diinginkan oleh rakyat.

“Dalam tempoh dua tahun, ia bukan satu keputusan bijak untuk jadi hos sebesar Sukan Komanwel. Jangan fikir sangat tentang dana RM600 juta yang nak dapat itu, tapi fikir juga secara holistik dan besar-besaran impak selepas itu.

“Betul ada cerita kedatangan para pelancong, tapi selepas itu impak secara keseluruhan dalam tempoh jangka masa lima dan 10 tahun selepas itu, apa jadi,?

“Malaysia tak pernah jadi hos Sukan Asia dan pernah bida untuk jadi tuan rumah pada 2006, tapi gagal dan kita tak mohon lagi selepas itu. Ini bermakna temasya peringkat Asia dan Komanwel kita tak mampu,” katanya kepada Sukan Sinar pada Jumaat.

Sebagai tuan rumah, CGF menawarkan Malaysia dana 100 juta pound (RM601 juta) bagi menyokong perancangan menganjurkan edisi 2026 dan akan mengurangkan beban kewangan menganjurkan temasya sukan itu.

Zainal Abidin turut mencetuskan persoalan mengenai penyediaan perkampungan sukan yang menjadi tradisi dan semangat Sukan Komanwel selain kemudahan seperti stadium serta venue acara sukan itu.

Artikel Berkaitan:

Imbas kembali... Perarakan kontinjen Malaysia semasa upacara perasmian pembukaan temasya Sukan Komanwel Kuala Lumpur 1998 di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Imbas kembali... Perarakan kontinjen Malaysia semasa upacara perasmian pembukaan temasya Sukan Komanwel Kuala Lumpur 1998 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

“Kalau kita tengok fasiliti sedia ada cuma kena naik taraf, tapi persoalan pokok dan topik utama apabila anjur temasya sukan seperti ini adalah nak menyiapkan perkampungan sukan.

“Di mana, kita nak fikir apakah nak 'campak' dalam hotel. itu bukan semangat Sukan Komanwel atau Sukan Olimpik. Jadi perlu fikir prasarana yang diperlukan untuk temasya ini,” katanya.

Justeru beliau melihat Malaysia mungkin boleh memberi tumpuan untuk membida menjadi tuan rumah bagi kejohanan besar seperti Piala Thomas dan Uber serta Piala Sudirman yang dilihat lebih realistik selain mampu memberi impak kepada sukan negara.

Malah beliau berkata, andai Malaysia mempunyai skuad yang solid dan dengan berani menjadi hos untuk kejohanan bola sepak bawah 23 tahun (B-23) di peringkat Asia.

Cuba kita lihat pada tahun 1997, kita menjadi hos untuk Piala Dunia Remaja, setahun kemudian tuan rumah Sukan Komanwel. Peminat juga mungkin lupa pada 2027 Malaysia akan jadi tuan rumah Sukan SEA.

“Apa impak daripada segi kewangan dan ekonomi. Perkara ini perlu difikirkan secara mendalam,” ujar Zainal Abidin.

Majlis Olimpik Malaysia (MOM) memaklumkan telah memulakan perbincangan dengan Kementerian Belia dan Sukan mengenai cadangan menganjurkan Sukan Komanwel 2026 susulan undangan rasmi daripada CGF kepada MOM yang juga dikenali sebagai Persatuan Sukan Komanwel (CGA) Malaysia bulan lalu.

Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, CGA Malaysia berpandangan kerajaan perlu menimbangkan peluang 'sekali seumur hidup' itu, di samping sokongan serta pelaburan kewangan berkaitan, meneruskan legasi kejayaan Malaysia yang pernah menganjurkan Sukan Komanwel Kuala Lumpur 1998 dan mengembalikan kemegahan negara dalam arena sukan dunia.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh pada Rabu memaklumkan perbincangan mengenai perkara tersebut akan dibawa untuk perbincangan Kabinet pada minggu depan.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28