Terjemahkan resolusi KEB 2024 dalam bentuk pelaksanaan – Ahmad Zahid

Ahmad Zahid mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pemandu MEB di Putrajaya, pada Jumaat.
Ahmad Zahid mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pemandu MEB di Putrajaya, pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Semua pemegang taruh perlu menterjemahkan 74 resolusi yang dimuktamadkan menerusi Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 dalam bentuk pelaksanaan yang efektif.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, ini bagi memenuhi harapan dan aspirasi rakyat yang mahu melihat hasil kejayaan sebenar daripada KEB 2024 yang diadakan tempoh hari.

Beliau berkata, segala tindakan susulan akan sentiasa diperhalusi, dipantau secara berkala.

Ahmad Zahid yang Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Jawatankuasa Pemandu) Majlis Ekonomi Bumiputera (MEB) berkata, dari segi pelaksanaan pula, ia akan ditambah baik dari semasa ke semasa untuk mengangkat darjat ekonomi bumiputera ke tahap yang lebih baik.

“Mesyuarat juga telah menetapkan jeda waktu bagi setiap kumpulan mengemukakan laporan kemajuan secara berkala dan menetapkan sasaran untuk satu Sesi Pelaporan Setahun Pelaksanaan KEB dilakukan secara berperingkat dan dibentangkan sepenuhnya pada Mei 2025.

“Ini bagi meningkatkan keyakinan rakyat akan kesungguhan Kerajaan Madani di dalam melaksanakan apa yang telah diresolusikan,” katanya dalam satu kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu MEB di Putrajaya, pada Jumaat.

Mesyuarat bersama pengerusi-pengerusi Kumpulan Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) yang mana resolusi tersebut diangkat menjadi agenda baharu pemerkasaan bumiputera hasil penganjuran KEB 2024 pada 29 Februari sehingga 2 Mac 2024 lalu.

Penubuhan Jawatankuasa Pemandu tersebut bertujuan memurnikan dan menggerakkan ikhtiar, inisiatif dan program KEB 2024 yang diluluskan oleh MEB.

Artikel Berkaitan:

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, mesyuarat Jemaah Menteri pada 8 Mac telah bersetuju, antara lain supaya satu sekretariat tetap telah ditubuhkan di bawah MEB yang akan dipengerusikan sendiri oleh Perdana Menteri bagi memastikan setiap resolusi tersebut diperhalusi dan dipastikan keberkesanan pelaksanaannya.

Manakala Rafizi Ramli selaku Menteri Ekonomi pula kata beliau telah dipertanggungjawabkan untuk mempengerusikan Jawatankuasa Kerja MEB bagi memastikan proses pelaksanaan dapat dijalankan secara efektif dan berkesan.

“Mesyuarat telah memuktamadkan 74 resolusi daripada 82 resolusi asal yang berlaku pertindihan dan 150 program yang digariskan melalui pembentangan 10 Kumpulan KEB.

“Resolusi dan program ini telah dirangkumkan di bawah Transformasi Ekonomi Bumiputera melalui Tiga Matlamat iaitu Keadilan Sosio-ekonomi, Kemampanan Negara Bangsa dan; Kemakmuran Negara dan Kesejahteraan Rakyat.

“Ini termasuk juga cadangan Perbadanan Tanah Bumiputera, Tabung Waqaf MARA Madani, Generasi Usahawan Bumiputera dan Pembangunan Tanah Rizab Melayu seperti yang telah diutarakan di dalam KEB 2024 tempoh hari,” katanya

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!