Cameron Highlands bandar paling bahagia di Malaysia

Cameron Highlands, Pahang diiktiraf sebagai 10 Bandar Paling Bahagia di Malaysia pada tahun ini. Gambar hiasan 123RF
Cameron Highlands, Pahang diiktiraf sebagai 10 Bandar Paling Bahagia di Malaysia pada tahun ini. Gambar hiasan 123RF
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Cameron Highlands, Pahang diiktiraf sebagai 10 Bandar Paling Bahagia di Malaysia pada tahun ini.

Turut tersenarai adalah Jeli, Jerantut, Kuala Terengganu, Lenggong, Bandaraya Melaka, Petaling Jaya, Port Dickson, Kulai dan Rompin sebagai bandar paling bahagia melalui Kajian Indeks Kebahagiaan Malaysia 2024 yang dijalankan oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia).

Indeks kebahagian merangkumi 14 komponen penilaian antaranya alam sekitar, pemimpin tempatan, perkhidmatan pihak berkuasa tempatan (PBT) infrastruktur asas, keseronokan bekerja dan hubungan jiran serta tahap stres.

Sambutan Hari Kebahagiaan Sedunia telah diraikan setiap tahun pada 20 Mac di seluruh dunia sebagai pengiktirafan kepada hubung kait antara keseimbangan pembangunan fizikal, sosial dan alam sekitar ke arah kebahagiaan dan kesejahteraan penduduk sejagat.

Di Malaysia, Hari Kebahagiaan Sedunia Peringkat Kebangsaan disambut secara rasmi sejak tahun 2015.

Selaras dengan dasar kepimpinan negara yang diterajui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tema Bahagia Bersama Malaysia Madani dipilih bagi memberi fokus kepada kesejahteraan rakyat, keharmonian masyarakat majmuk, pembangunan mampan dan tadbir urus baik.

Terdahulu dalam ucapan perasmian sambutan itu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming turut mengumumkan Malaysia berada pada kedudukan ke-55 paling bahagia di dunia daripada 137 negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang telah dinilai dengan memperoleh skor indeks 6.012.

"Kedudukan ini menunjukkan peningkatan sebanyak 15 anak tangga berbanding dua tahun lalu pada kedudukan 77," katanya pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Kor Ming berkata, Indeks Kebahagiaan Malaysia telah menunjukkan peningkatan sebanyak 5.7 mata dari lima tahun sebelum ini, iaitu daripada 81.24 peratus pada tahun 2019 kepada 86.94 peratus tahun ini.

Tegasnya, ia menggambarkan kesejahteraan rakyat terpelihara melalui perkhidmatan yang diberikan oleh PBT dan juga penyediaan kemudahan yang menyumbang kepada persekitaran kehidupan yang selesa serta kondusif.

"Saya difahamkan bagi pengukuran Indeks Kebahagiaan pada tahun 2024, sebanyak 144 PBT telah menyertai kaji selidik indeks di mana 71 peratus telah mencapai tahap bahagia dan 29 peratus mencapai tahap sederhana bahagia," ujar beliau

Sementara itu, ditanya mengenai kelebihan yang dimiliki Cameron Highlands untuk dinobatkan sebagai Bandar Paling Bahagia meskipun seringkali terpalit dengan isu penerokaan tanah iaitu salah satu kompenan di dalam indeks berkenaan, Kor Ming berkata, ia adalah berdasarkan hasil kajian penduduk setempat.

"Mereka gembira. Mungkin terdapat banyak faktor antaranya sayur murah, cuaca sejuk, keseronokan bekerja dan sebagainya," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28