Kemaman mampu ulangi kebangkitan Cameron Highlands - Wan Rosdy

Wan Rosdy semasa ceramah perdana BN di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Paya Berenjut, Chukai, pada malam Ahad.
Wan Rosdy semasa ceramah perdana BN di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Paya Berenjut, Chukai, pada malam Ahad.
A
A
A

KEMAMAN - Barisan Nasional (BN) mampu bangkit semula di Terengganu, sebagaimana pernah dilakukan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands pada 2019.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, parti berkenaan menang buat pertama kali selepas kalah dalam sembilan PRK sebelum itu apabila meletakkan calon Orang Asli dan bukannya dalam kalangan kepimpinan.

Menurutnya, strategi sama digunakan untuk Kemaman apabila memilih bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.

"BN letak calon daripada bukan kalangan kita. Itu satu pengorbanan. Sebab apa? Kita nak menang.

"Ramai ahli jawatankuasa bahagian dan pucuk pimpinan yang layak tapi mungkin melihat ada sedikit kelebihan pada Raja Affandi. Mengambil kira keadaan semasa dan pelbagai faktor, kita letak beliau.

"Sepertimana dilakukan di Cameron Highlands, BN berjaya menang dan mencatat kejayaan dalam pilihan raya seterusnya. Kita harap ini akan diikuti oleh Kemaman," katanya sewaktu ceramah perdana BN di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Paya Berenjut, Chukai pada malam Ahad.

Beliau yang juga Menteri Besar Pahang menambah, jentera parti harus bekerja kuat menjelang hari pengundian pada 2 Disember nanti.

Jelasnya, BN tiada pilihan melainkan menang dalam PRK kali ini.

Artikel Berkaitan:

"Kita tak mampu dah kalah di Terengganu sebab tiada satu kerusi pun, baik DUN (Dewan Undangan Negeri) dan Parlimen.

"Inilah masa terbaik untuk tebus kembali Parlimen Kemaman untuk BN. Saya sangat percaya dan yakin, kerja kuat daripada semua akan membantu kemenangan kita.

"Jumpa seramai mungkin pengundi dan beri penerangan kepada mereka. Kita nak satu kerusi untuk Kemaman supaya suara orang Terengganu dapat didengari di Parlimen," katanya.

PRK Parlimen Kemaman pada 2 Disember ini menyaksikan pertandingan satu lawan satu BN dan Pas.

BN mempertaruhkan bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor manakala Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mewakili Pas.