Yayasan Jaafar Ahmad sumbang Pek Kembali Ke Sekolah

Penasihat YJA, Zainudin Jaafar (belakang, dua dari kanan) bersama Datuk Azmir Jaafar iaitu Presiden Persatuan Kebajikan Ronald McDonald Malaysia (RMHC Malaysia) (tiga dari kanan) bersama-sama murid-murid yang menerima Pek Kembali Ke Sekolah.
Penasihat YJA, Zainudin Jaafar (belakang, dua dari kanan) bersama Datuk Azmir Jaafar iaitu Presiden Persatuan Kebajikan Ronald McDonald Malaysia (RMHC Malaysia) (tiga dari kanan) bersama-sama murid-murid yang menerima Pek Kembali Ke Sekolah.
A
A
A

TAMPIN - Sempena meraikan sesi baharu persekolahan tahun ini, hampir 1,000 murid daripada keluarga kurang berkemampuan di Negeri Sembilan mengukir wajah ceria selepas menerima sumbangan Pek Kembali Ke Sekolah daripada Yayasan Jaafar Ahmad (YJA).

Sebagai sebuah badan kebajikan, YJA diasaskan oleh ahli-ahli keluarga kepada Datuk Azmir Jaafar iaitu Presiden Persatuan Kebajikan Ronald McDonald Malaysia (RMHC Malaysia) khusus untuk membantu golongan yang memerlukan di negeri itu.

Penasihat YJA, Zainudin Jaafar berkata, sebagai anak jati Negeri Sembilan, sumbangan yang meliputi pakaian seragam serta peralatan sekolah itu adalah antara pendekatan pihaknya menabur bakti kepada masyarakat dalam pelbagai aspek termasuklah soal pendidikan.

“Inisiatif ini cukup dekat di hati saya, kerana saya juga membesar daripada keluarga yang kurang berkemampuan.

“Saya dan ahli keluarga Jaafar Ahmad yang lain, kami sendiri merasai bagaimana perasaannya apabila mendapat kelengkapan sekolah baru.

"Kami berharap sumbangan ini bukan sahaja akan menyuntik semangat baharu kepada murid-murid yang terlibat, mendorong mereka mencipta kejayaan cemerlang dalam pelajaran masing-masing seterusnya mengubah nasib keluarga mereka,” katanya pada majlis penyerahan Pek Kembali Ke Sekolah di Dewan Semai Bakti Felda Pasir Besar, di sini pada Rabu.

Murid-murid SK Felda Pasir Besar menunjukkan Pek Kembali Ke Sekolah dalam satu majlis anjuran bersama YJA dan RMHC Malaysia di Tampin, Negeri Sembilan baru-baru ini.
Murid-murid SK Felda Pasir Besar menunjukkan Pek Kembali Ke Sekolah dalam satu majlis anjuran bersama YJA dan RMHC Malaysia di Tampin, Negeri Sembilan baru-baru ini.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Zainudin yang juga abang kepada Azmir itu memberitahu, program Pek Kembali Ke Sekolah yang dilaksanakan YJA melibatkan murid tahun satu daripada 29 buah sekolah rendah di seluruh Negeri Sembilan.

Daripada jumlah keseluruhan murid itu, 300 daripadanya adalah dari murid di sekolah-sekolah luar bandar di sekitar daerah Tampin, termasuk Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Pasir Besar.

“Sejumlah RM150,000 telah disumbangkan oleh YJA bagi melaksanakan usaha murni ini,” katanya.

Dalam pada itu, Zainudin turut menyatakan penghargaan terhadap RMHC Malaysia yang tampil memberikan sokongan kepada YJA dalam bersama-sama menyantuni kanak-kanak yang memerlukan.

Katanya, menerusi kerjasama RMHC Malaysia, usaha membantu golongan yang memerlukan dapat diperluaskan kepada lebih ramai penerima yang memerlukan di seluruh negara.

Pada masa sama, Zainudin memberitahu, YJA dari awal penubuhannya tidak pernah diam menyantuni golongan memerlukan di Negeri Sembilan melalui pelbagai sumbangan Ramadan.

“Sumbangan ini termasuklah tajaan berbuka puasa dan barangan keperluan harian serta sumbangan wang tunai. Insya-ALLAH tahun ini, kami akan teruskan lagi inisiatif Ramadan kami.

“Jika ada yang memerlukan, jangan segan menghubungi pihak kami, dan kami akan berusaha menghulurkan bantuan sewajarnya,” jelas beliau.

RMHC Malaysia

Sementara itu, Pengurus Besar RMHC Malaysia, Nasri Nordin berkata, Pek Kembali Ke Sekolah merupakan antara program teras pihaknya yang telah dilaksanakan sejak tahun 2017.

Pada tahun ini, sebanyak 11,000 Pek Kembali Ke Sekolah telah disumbangkan oleh pihaknya secara berperingkat bermula pada bulan Disember 2023 sehingga minggu pertama persekolahan, Mac tahun ini.

“Secara keseluruhan, sebanyak RM1.5 juta dana telah berjaya dikumpul dan dibelanjakan bagi menjayakan program itu pada tahun ini.

“Dana berkenaan adalah hasil sumbangan syarikat-syarikat korporat dan orang-orang perseorangan yang prihatin, termasuklah daripada para pelanggan serta warga kerja McDonald’s Malaysia," katanya.

Tambah Nasri, sebagai sebuah badan kebajikan, RMHC Malaysia sentiasa memfokuskan kesejahteraan kanak-kanak di negara ini dalam pelbagai aspek kehidupan mereka.

Wajah kegembiraan yang terukir pada kanak-kanak yang menerima Pek Kembali Ke Sekolah hasil kerjasama di antara YJA dan RMHC Malaysia.
Wajah kegembiraan yang terukir pada kanak-kanak yang menerima Pek Kembali Ke Sekolah hasil kerjasama di antara YJA dan RMHC Malaysia.

Malah, RMHC Malaysia akan meneruskan inisiatif bantuan persekolahan berkenaan yang mana ia membantu meringankan bebanan ibu bapa di samping mengukir senyuman kepada kanak-kanak untuk memulakan sesi persekolahan baharu.

Sepanjang dimulakan pada 2017 hingga kini, sebanyak RM9.7 juta telah dibelanjakan untuk program Pek Kembali Ke Sekolah yang mana ia telah memanfaatkan lebih 150,000 orang murid daripada keluarga berpendapatan rendah di seluruh negara.

Info: Yayasan Jaafar Ahmad

- Diasaskan oleh ahli-ahli keluarga kepada Datuk Azmir Jaafar, Presiden RMHC Malaysia.

- Nama yayasan diambil bersempena bapa mereka, Jaafar Ahmad di atas jasa menyara keluarga, membesarkan anak-anak serta memastikan mendapat pendidikan terbaik.

- Bertujuan untuk membantu masyarakat yang memerlukan di Negeri Sembilan meliputi aspek kebajikan, pendidikan dan sebagainya.

- Antara program tahunan yang dilaksanakan merangkumi sumbangan Ramadan, Pek Kembali Ke Sekolah (meliputi beg sekolah, pakaian seragam, kasut dan peralatan sekolah) serta lain-lain program kemasyarakatan.