X

Kindly register in order to view this article
!

Wanita maut kereta terbabas di LPT1

Anggota bomba membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit selepas terbabit kemalangan di Kilometer 235.8 LPT1 di sini pagi tadi.
A
A

KUANTAN - Seorang wanita maut selepas kereta dipandunya terbabit kemalangan di Kilometer 245.8 Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) berhampiran kawasan Ladang Bukit Goh di sini pagi tadi.

Dalam kemalangan yang dilaporkan jam 6.12 pagi itu, mangsa, Nor Ardiana Omar, 23, yang memandu kereta Perodua Viva beralamat di Kampung Sri Damai di sini disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Bagaimanapun, seorang penumpang kereta berkenaan, Muhamad Syamsul, 34, dilaporkan cedera parah.

Ketua Polis Daerah Kuantqn, Asisten Komisioner Mohd Noor Yusof Ali berkata, berdasarkan siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika mangsa yang memandu kereta Perodua Viva itu dalam perjalanan dari arah Kuantan menghala ke Kuala Lumpur.

Menurutnya, ketika tiba di lokasi kejadian, kereta dipandu dipercayai hilang kawalan lalu melanggar besi penghadang jalan dan terbabas ke dalam longkang.

"Akibat kemalangan, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian perut dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Penumpang lelaki yang tersepit dikeluarkan dengan bantuan anggota bomba sebelum dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk menerima rawatan," katanya.

Mohd Noor berkata, mayat mangsa dihantar ke hospital sama untuk proses bedah siasat.

"Kes kemalangan awal pagi itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Anuar Hassan berkata, sembilan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Gebeng bergegas ke lokasi untuk bantuan menyelamat mangsa terlibat.

Menurutnya, pihaknya membantu mengeluarkan salah seorang mangsa (lelaki) yang tersepit sebelum dihantar ke HTAA untuk menerima rawatan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus