Cuaca melebihi 35°C sepanjang minggu

Ramalan cuaca signifikan yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia.
Ramalan cuaca signifikan yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia.
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan cuaca kering dan panas dengan suhu melebihi 35°C masih berlaku sepanjang minggu ini.

MetMalaysia dalam satu kenyataan pada Jumaat memaklumkan, berdasarkan analisis model-model cuaca, situasi itu berlaku di kebanyakan tempat di Semenanjung dan Sabah sepanjang tempoh ramalan tujuh hari ke hadapan.

Bagaimanapun, ribut petir berserta hujan lebat dan angin kencang masih berpotensi berlaku di Sarawak pada sebelah petang dan boleh berlarutan hingga ke pagi.

Pada Khamis, MetMalaysia telah mengeluarkan amaran cuaca panas tahap berjaga-jaga di 10 kawasan Semenanjung Malaysia dan satu di Sarawak.

Antara kawasan di Semenanjung Malaysia yang terlibat ialah Perlis, Kedah (Kota Setar, Pokok Sena, Padang Terap, Pendang, Sik dan Baling ); Hulu Perak, Perak dan Raub, Pahang, manakala di Sarawak pula melibatkan Limbang.

Suhu panas tahap berjaga-jaga dikategorikan apabila suhu maksimum harian sesuatu kawasan itu mencecah 35 hingga 37 darjah Celsius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut.

Orang awam juga dinasihatkan untuk sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan media sosial rasmi MET Malaysia serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat yang terkini dan sahih.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Artikel Berkaitan: