Penganjur bazar Ramadan akan disenarai hitam jika beri warga asing berniaga

Setiap penganjur bazar Ramadan perlu mengambil tanggungjawab dengan melakukan pemantauan agar tidak membiarkan warga asing menjalankan perniagaan di tapak bazar mereka. - Gambar hiasan Bernama. Gamabr kecil: Arul Kumar
Setiap penganjur bazar Ramadan perlu mengambil tanggungjawab dengan melakukan pemantauan agar tidak membiarkan warga asing menjalankan perniagaan di tapak bazar mereka. - Gambar hiasan Bernama. Gamabr kecil: Arul Kumar
A
A
A

NILAI - Penganjur bazar Ramadan dan bazar Aidilfitri di negeri ini boleh disenarai hitamkan sekiranya didapati membiarkan warga asing menjalankan perniagaan di tapak bazar mereka.

Exco Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan Negeri Sembilan, J Arul Kumar berkata, setiap penganjur perlu mengambil tanggungjawab itu dengan melakukan pemantauan.

"Sekiranya ada warga asing berniaga di celah-celah bazar, penganjur terlebih dahulu perlu ambil tindakan tegas terhadap mereka kerana sudah ada syarat jelas dalam lesen yang warga asing tidak dibenarkan.

"Sekiranya penganjur gagal berbuat demikian, kita akan senarai hitamkan mereka untuk dipilih sebagai penganjur bazar pada masa akan datang," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Menurutnya, pihak berkuasa tempatan (PBT) juga tidak pernah dan tidak akan mengeluarkan sebarang lesen perniagaan kecil kepada warga asing.

Tambahnya, amaran turut diberi kepada peniaga supaya tidak menyewakan lesen mereka atau memberi kebenaran berniaga kepada warga asing.

"Bazar ini kita bagi ruang kepada pekerja kecil kita untuk mencari sumber pendapatan tambahan sepanjang bulan Ramadan, bukannya untuk warga asing.

"Larangan sama turut diberi kepada tapak pasar malam dan pasar tani. Pada minggu lalu, Majlis Bandaraya Seremban telah menyita barangan yang diniagakan warga asing,"katanya.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun katanya, buat masa ini belum ada aduan diterima berhubung warga asing berniaga di bazar Ramadan di negeri ini, namun pemantauan akan dilakukan.