30 kementerian selesai gulung perbahasan, usul titah diraja lulus

Minggu ketiga Mesyuarat Pertama Penggal ke-15 Dewan Rakyat yang melabuhkan tirainya pada Khamis berakhir dengan kelulusan usul Menjunjung Kasih Titah Yang di-Pertuan Agong. Gambar hiasan.
Minggu ketiga Mesyuarat Pertama Penggal ke-15 Dewan Rakyat yang melabuhkan tirainya pada Khamis berakhir dengan kelulusan usul Menjunjung Kasih Titah Yang di-Pertuan Agong. Gambar hiasan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Minggu ketiga Mesyuarat Pertama Penggal ke-15 Dewan Rakyat yang melabuhkan tirainya pada Khamis berakhir dengan kelulusan usul Menjunjung Kasih Titah Yang di-Pertuan Agong.

Usul itu diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas 30 kementerian selesai menggulung perbahasan usul yang bermula Isnin, dimulakan dengan Kementerian Kewangan dan berakhir dengan Jabatan Perdana Menteri.

Seramai 160 ahli Parlimen mengambil bahagian dalam sesi perbahasan usul itu pada persidangan Dewan Rakyat bermula 27 Februari hingga 7 Mac lepas.

Berlangsung lancar tanpa insiden melibatkan arahan keluar dewan, pelbagai isu dibangkitkan pada minggu ini merangkumi topik kos sara hidup, ekonomi, pendidikan, teknologi digital dan antara yang mencuri tumpuan isu import kurma dari Israel serta cadangan mengangkat Kampung Baru sebagai Tapak Warisan Dunia Unesco.

Sesi Kamar Khas turut diadakan susulan usul yang dibawa Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (PN-Arau) mengenai keperluan bagi Malaysia menghantar bantuan kemanusiaan ke Palestin.

Tiga rang undang-undang turut dibentangkan bagi bacaan kali pertama minggu ini iaitu Rang Undang-Undang Wang Tak Dituntut (Pindaan) 2024, Rang Undang-Undang Perbekalan (Penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan) 2024 dan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan (2023) 2024.

Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen ke-15 berlangsung sehingga 27 Mac ini, menyaksikan pembentangan serta perbahasan rang undang-undang dan urusan kerajaan yang lain. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Artikel Berkaitan: