Guna kuasa pengguna tentukan harga pasaran - Fuziah

Fuziah. Foto Bernama
Fuziah. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Pengguna diseru agar bersama kementerian memainkan peranan dengan menggunakan kuasa bagi menentukan harga barangan di pasaran.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Fuziah Salleh berkata, tekanan daripada pengguna akan memaksa peniaga menurunkan harga jualan.

"Kerajaan ada peranan. Kebijaksanaan dan kuasa pengguna juga akan menentukan harga pasaran," katanya ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Bazar Ramadan Rahmah (BRR) di sini pada Khamis.

Mengambil contoh harga murtabak yang dikatakan mahal, beliau berkata, faktor kenaikan harga bawang besar import dari India dan daging import menyumbang kepada kenaikan makanan tersebut.

"Harga barangan import mengalami kenaikan sejak dua minggu lepas dan tentunya ada kesan kepada profit peniaga, namun peniaga di sini mengatakan mereka boleh mengekalkan harga lama," jelasnya.

Menurutnya, KPDN akan terus memantau harga di semua bazar Ramadan dan pasar raya dalam usaha mengekang aktiviti pencatutan oleh peniaga yang tidak bertanggungjawab.

"Ops Pantau yang bermula Selasa lalu telah memeriksa 3,099 premis yang mana 126 diterima dan 11 kes telah dibuka," ujar beliau.

Tambahnya, sebanyak sembilan aduan berkaitan bazar Ramadan diterima KPDN.

Artikel Berkaitan:

"Aduan bazar Ramadan ini meliputi lima tidak mempunyai tanda harga dan empat lagi kenaikan harga," kata beliau.

Ujar Fuziah, Bazar Ramadan Rahmah merupakan tawaran Kerajaan Madani kepada rakyat dengan 40 peratus adalah menu Rahmah.

"Kerajaan berunding dengan penganjur untuk menurunkan kadar sewa tapak di sini iaitu RM1,000 kepada RM850," katanya.

BRR merupakan salah satu inisiatif utama di bawah Program Payung Rahmah Madani dengan objektif untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat melalui pilihan hidangan berbuka puasa pada harga yang berpatutan.

Semua peniaga BRR telah digalakkan untuk menawarkan Menu Rahmah pada harga RM5 dan ke bawah sebagai pilihan menu tambahan ditawarkan kepada pengunjung.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28