Henti main isu polarisasi perkauman, politik berlebihan

Teo Kok Seong
Teo Kok Seong
A
A
A

SHAH ALAM – Polarisasi perkauman dan politik berlebihan boleh mengancam hubungan harmoni pelbagai kaum di negara ini sekiranya ia tidak dibendung dengan segera.

Felo Utama Institut Kajian Etnik (Kita), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Dr Teo Kok Seong berkata, dua faktor ini juga membawa kepada perselisihan faham akibat kurang pemahaman dan sikap saling menghormati.

“Sekarang hubungan etnik kita berada di tahap merbahaya dan ia bertambah buruk lagi apabila polarisasi kaum kekal menjadi isu yang sering dimainkan media sosial selain tindakan segelintir ahli politik yang tidak bertanggungjawab untuk memecah-belahkan kita dengan memainkan sentimen agama serta perkauman.

“Apa yang paling diperlukan sekarang untuk meneutralkan politik kebencian ialah pembina jambatan etnik dan bukannya wira etnik. Ini penting untuk membuang kebencian dan polarisasi kaum yang semakin meningkat sekarang,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, dalam hal ini, pemimpin politik perlu berhenti memainkan isu perkauman bagi memulihara kesejahteraan rakyat pelbagai kaum di negara ini.

“Mereka perlu menghentikan isu ini, bukan mengambil kesempatan kerana kebanyakan rakyat akan mengikut serta terpengaruh dengan setiap tindakan mereka.

“Kenyataan provokatif dan perbuatan yang boleh menimbulkan ketegangan dalam masyarakat perlu dihentikan segera,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Penerbit Sinar Harian, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub yang mengingatkan kerajaan bahawa isu-isu perkauman dan agama tidak ditangani dengan berkesan ia boleh menghancurkan Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut menyifatkan suasana hubungan kaum dan agama di negara ini semakin parah terutama sejak 20 bulan lalu.

Mengulas mengenai perkara itu, Kok Seong berkata, beliau bersetuju dengan kenyataan berkenaan dan menganggap kempen Uninstall Hatred, Reboot Malaysia & Global Harmony yang dianjurkan menjadi medium terbaik untuk mengeratkan hubungan kaum di Malaysia.

“Saya amat bersetuju dan kempen ini perlu dipuji dalam usaha mengukuhkan semula hubungan serta menyalurkan kasih sayang antara kaum.

“Beliau menggunakan medium ini untuk menyatukan semula rakyat dan sudah tentu usaha ini akan melemahkan tindakan segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya.

Sivamurugan Pandian
Sivamurugan Pandian

Sementara itu, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Madya Dr Sivamurugan Pandian berkata, masalah hubungan etnik wajar ditangani segera untuk mengelak pertembungan isu-isu sensitif yang semakin ghairah disensasikan.

“Tidak mustahil ia menghancurkan masa depan negara apatah lagi tahap kepercayaan rakyat semakin terhakis manakala tahap syak wasangka, stereotaip dan prejudis semakin menebal.

“Ada isu yang sengaja dijadikan bahan untuk dihangatkan dan ada pula isu yang dibelakangkan. Platform media sosial juga turut mengundang kesangsian ke atas hubungan antara etnik khususnya dalam kalangan generasi muda.

“Propaganda, tokok tambah dan memutar belit fakta menjadi satu gelagat yang menjadi-jadi sehingga teknologi diutamakan dari nilai keinsanan,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, pemimpin politik tidak seharusnya menjadikan isu kaum sebagai platform untuk mempopularkan diri sendiri.

“Ada pemimpin bersifat emosional dari rasional dan praktikal. Kepalsuan diangkat menjadi benar dan yang benar menjadi palsu dalam isu-isu perpaduan serta integrasi.

“Pemimpin terutama di peringkat nasional perlu menjadi contoh kepada rakyat dan bukannya sebaliknya,” katanya.

Justeru katanya, perkara itu perlu ditangani segera supaya keharmonian kaum dapat dieratkan semula.

“Hukuman lebih keras perlu dikenakan terhadap pihak yang mengganggu hubungan antara etnik. Jangan biarkan yang memohon maaf selepas mengungkap, menghina dan mengaibkan agama serta etnik terbebas. Mereka perlu didakwa dan dihukum.

“Mudah untuk meroboh apa yang sudah terbina tetapi sukar untuk membina kerencaman Malaysia. Apa yang penting semua perlu kemalai kepada asas kontrak sosial, Rukun Negara dan Perlembagaan serta bangga meraikan kepelbagaian dan bukan menjadi pengkhianat kepada Malaysia,” katanya.