Damok guna pengalaman MotoGP gegar ARRC 2024

Damok sedia menggunakan pengalamannya berlumba di MotoGP untuk 'menggegar’ litar ARRC musim ini. Foto Bernama
Damok sedia menggunakan pengalamannya berlumba di MotoGP untuk 'menggegar’ litar ARRC musim ini. Foto Bernama
A
A
A

BEKAS pelumba Moto3 negara, Syarifuddin Azman atau dikenali Damok sedia menggunakan pengalamannya berlumba di Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) untuk 'menggegar’ litar Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) musim ini.

Pelumba berusia 22 tahun itu akan beraksi dalam kelas AP 250cc bersama pasukan Idemitsu Boon Siew Honda (BSH) Racing Team dalam perlumbaan yang membuka tirai di Litar Antarabangsa Chang, Thailand esok hingga Ahad ini.

Mengakui perlu mengubah sedikit cara tunggangan dalam saingan ARRC ini, Damok menetapkan sasaran untuk menamatkan perlumbaan di podium dalam kesemua enam pusingan perlumbaan musim 2024.

"Bagi saya peralihan daripada Moto3 ianya tetap beri cabaran buat saya. Saya perlu mengubah cara tunggangan dalam usaha untuk memberikan tentangan sengit.

"Saya tidak meletakkan sasaran besar namun akan cuba kekal tenang selain fokus mencari talaan terbaik ke atas jentera (Honda CBR250RR) yang akan ditunggangi dalam perlumbaan ini,” katanya dalam sidang media secara dalam talian pada Khamis.

Kali terakhir Damok menyertai kejuaraan ARRC adalah pada 2019 dalam kategori sama.

Selepas Thailand, ARRC beralih ke ke Litar Antarabangsa Zhuhai, China (19-21 April), Mobility Resort Motegi, Jepun (7-9 Jun), Litar Antarabangsa Mandalika, Indonesia (26-28 Julai), Litar Antarabangsa Sepang (SIC) di sini (13-15 September) sebelum berakhir di Litar Antarabangsa Chang (6-8 Disember).

Pada Rabu, Damok diumum menyertai kejuaraan tersebut pada sesi pengenalan pelumba pasukan BSH sekali gus menjawab teka-teki tentang nasib pelumba negara itu yang tidak lagi beraksi di MotoGP.

Artikel Berkaitan:

Turut bersama BSH ialah Zaqhwan Zaidi yang beraksi dalam kelas perdana ASB1000 bersama jentera baharu Honda CBR1000RRR 2024 sementara Md Helmi Azman dan Azroy Hakeem Anuar berlumba dalam kelas SS600cc bersama jentera Honda CBR600RR. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28