Haiqal tekad rebut kembali slot kuartet 4x100m

Haiqal sudah pulih daripada kecederaan buku lali yang dialami pada Julai tahun lalu. Foto Agensi
Haiqal sudah pulih daripada kecederaan buku lali yang dialami pada Julai tahun lalu. Foto Agensi
A
A
A

SETELAH berehat panjang susulan kecederaan buku lali tahun lepas, jaguh pecut negara, Muhammad Haiqal Hanafi tekad merebut kembali tempatnya dalam kuartet 4x100 meter (m) kebangsaan.

Juara 100m Sukan SEA 2019 berusia 25 tahun itu mengakui agak ketinggalan selepas kecederaan dialaminya pada Julai tahun lepas dan yakin mampu bangkit kepada prestasi sebenar tidak lama lagi.

"Saya tekad buat kemunculan semula perlahan-lahan walaupun sudah ketinggalan banyak kejohanan dan prestasi merosot. Tapi percaya pada diri, saya akan muncul kembali.

"Kita ada nama hebat dalam acara pecut, tapi saya perlu percaya pada diri sendiri, percaya pada jurulatih sebab mereka yang latih. Ikut program diberikan dan selebihnya tawakal. Kalau layak untuk relay, Alhamdulillah, kalau tidak kita tambah baik," katanya.

Atlet kelahiran Negeri Sembilan itu mengalami kecederaan buku lali ketika menjalani latihan dan berehat lama selain terpaksa melupakan penyertaannya pada Kejohanan Olahraga Asia di Pattaya, Thailand dan Sukan Asia Hangzhou 2022.

Bagaimanapun, pada 2 Mac lepas, Muhammad Haiqal membuktikan beliau masih berbisa apabila meraih pingat perak acara 100m lelaki dengan catatan masa 10.59 saat (s) di bekalang Jonathan Nyepa (10.47s) untuk pingat emas, manakala gangsa dimenangi Muhammad Arsyad Md Saat (10.64s).

Dalam pada itu, jurulatih pecut negara, Muhammad Poad Kassim mengakui Muhammad Haiqal sememangnya menunjukkan peningkatan prestasi sejak kembali menjalani latihan awal tahun ini.

"Tahun lepas, Haiqal mengalami kecederaan, lama juga dia rehat dan kemudian tiada kejohanan besar. Selepas menjalani rawatan dan latihan nampak peningkatan.

Artikel Berkaitan:

"Harap dia terus fokus berlatih dan saya yakin tahun ini dia boleh buat yang terbaik," katanya. - Bernama